Membawang Hari Ini

Penangan orang lama

Bukan mudah untuk bersaing dan bertahan dalam industri seni.

Namun, penyanyi malar segar Nassier Wahab dan Ramlah Ram membuktikan segala-galanya tidak mustahil dicapai jika mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi.

Mula menyinari persada seni tanah air sekitar pertengahan era 1980-an sehinggalah kini, nama mereka masih mengharum dalam kalangan peminat termasuk generasi baru.

Dengan pengalaman dimiliki, kedua-duanya masih lagi rancak menjadi pilihan penganjur untuk tampil dalam persembahan berbentuk eksklusif serta membabitkan orang kenamaan.

Nassier dan Ramlah pernah mengecapi kegemila­ngan populariti dan tidak berasa cemburu apabila giliran itu kini diambil alih artis generasi baru.

Ditemui baru-baru ini, Nassier, 53, memberitahu dia baru saja menghasilkan single terbaru berkonsep ketuhanan berjudul Lukisan Cinta terbitan Richard Kyoto.

“Rakaman dibuat di Jakarta, Indonesia. Saya juga pernah menyanyikan lagu ketuhanan dalam album Pedoman pada 1997. Tahun lalu saya tampil dengan lagu Airmata Dan Doa yang berkonsep sama.

“Lagu-lagu ini kemudian dihimpunkan dalam sebuah album kompilasi yang diberi judul Lukisan Cinta yang memuatkan 11 lagu ketuhanan dan dipasarkan pada bulan Ramadan.

“Album ini diterbitkan di bawah label Nassier Wahab Production (NWP) dan diedarkan Musicland Sdn Bhd. Kalau ikutkan pasaran album sekarang memang lembap, tapi sebagai artis saya kena ada produk.

“Sempena Aidilfitri, Musicland juga menerbitkan album berjudul Seni Merindu Di Aidilfitri yang memuat­kan nyanyian saya, Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Jaafar Onn, Isma AF dan ramai lagi.

“Album Aidilfitri masih ada pasaran kerana orang tetap nak beli bagi memeriahkan suasana Aidilfitri. Jualannya terhad, tapi album ini boleh dijual dalam tempoh masa yang lama dengan ditukar kulit album setiap tahun,” katanya yang masih laris dengan tawaran menyanyi.

Sementara itu, Ramlah, 50, pula kini sedang mencari lagu yang sesuai untuk diterbitkan sebagai single terbaru. Kali terakhir dia muncul menerusi album Aspirasi Hati pada 2012.

“Saya sedang cari lagu yang ada kelainan dan ada sesuatu untuk tarik peminat. Saya dah tahu bentuk lagunya dan hanya mencari komposer lagu yang sesuai.

“Tak kisahlah siapa pun komposernya sama ada orang lama atau baru, yang penting dia tahu apa yang saya mahukan. Saya juga bersyukur kerana pembaharuan yang dibuat sebelum ini diterima peminat,” katanya.

Jadi duta produk

Nassier dan Ramlah kini dilantik sebagai duta syarikat Home Direct Shopping (HDS), yang memasarkan produk kelengkapan rumah menerusi katalog dan sistem penghantaran secara pos.

“Kontrak kami hanya empat bulan dan kami perlu ikut setiap program promosi yang dibuat HDS. Ia bukanlah masalah besar kerana secara tak langsung kami dapat mempromosikan lagu kepada peminat,” kata Nassier.

Ramlah pula menyifatkan ia satu rezeki kerana tidak semua artis berpeluang mendapat tawaran sebegini.

– http://www.hmetro.com.my/node/59546#sthash.tFTqHTmv.dpuf

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");