Berita Hari Ini

Pihak ketiga hangatkan 1MDB

KUALA TERENGGANU – Isu 1Malaysia Development (1MDB) terus dimainkan berikutan persepsi sesetengah pihak berhubung campur tangan pihak ketiga sehinggakan ada pihak melihat ada penyelewengan wang dalam syarikat tersebut.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berkata, kerajaan terpaksa berdepan dengan persepsi sedemikian walaupun telah membawa perkara tersebut untuk diaudit secara telus, bebas serta menyeluruh dan laporannya diserah kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurutnya, terdapat segelintir pihak seperti pembangkang yang tidak pernah diam daripada mewujudkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat walaupun penerangan dan penjelasan telah diberikan pihak kerajaan.

“Adanya orang ketiga dalam isu 1MDB hanya persepsi rakyat. Walaupun perkara itu dinafi, mereka dilihat tidak mahu terima penafian itu sebaliknya mahu penjelasan mengenai perkara itu berikutan ada transaksi 1MDB.

“Dari sudut pelaburan tak ada masalah, tetapi timbul isu apabila berlaku transaksi. Mereka nak tahu siapa pihak ketiga. Adakah ia wujud dan apa peranannya,” katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan rakyat tidak terus dihimpit pelbagai persepsi, kerajaan perlu ambil kira dan cari jalan penyelesaian bagi menghapuskan persepsi tersebut.

Katanya, kewujudan media sosial memudahkan maklumat diakses dan keadaan tersebut dilihat turut dijadikan modal oleh pembangkang.

“Keadaan bertambah tegang dengan campur tangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering membangkitkan isu tersebut dan terbaharu melalui program dialog ‘Nothing to Hide’ yang dibatalkan baru-baru ini.

“Tun Dr Mahathir mahu cari kebenaran kerana banyak kekeliruan isu 1MDB tetapi kerajaan sudah lantik audit dan PAC untuk siasat perkara itu. Saya rasa Tun Mahathir perlu sabar sehingga perkara itu selesai,” katanya.

Mengulas sikap Dr Mahathir yang sering menyerang Najib, beliau berharap tokoh negarawan itu tidak mengkritik Najib secara terbuka sebaliknya menggunakan pendekatan anak-beranak.

“Beliau sendiri pernah ditegur Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. Datuk Seri (Najib) juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelemahan, tetapi tidak perlu tegur secara berdebat atau terbuka,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");