Berita Hari Ini

Rugi RM1.35 juta akibat banjir besar

TANAH MERAH – Bencana banjir besar, akhir tahun lalu, menyebabkan sektor pertanian di daerah ini mengalami kerugian berjumlah RM1.35 juta, meningkat hampir enam kali ganda berbanding kerosakan pertanian akibat dua gelombang banjir dua tahun lalu.

Anggaran kerugian petani di daerah ini akibat banjir pada akhir 2014 dan Januari 2015 berjumlah RM198,500, manakala keluasan tanah pertanian yang terlibat seluas 147.73 hektar berbanding 250.94 hektar yang musnah akibat banjir besar, akhir tahun lalu.

Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd Nazmin Ismail berkata, kerugian akibat banjir besar akhir Disember tahun lalu ditanggung seramai 396 petani membabitkan tanaman padi; buah-buahan; sayuran, industri asas tani dan penternakan lebah kelulut.

Katanya, daripada jumlah tersebut, tanaman padi paling teruk terjejas melibatkan 252 petani, diikuti penanam buah-buahan seramai 86 orang, manakala petani sayur; industri asas tani dan lebah kelulut masing-masing berjumlah 38, 13 dan tujuh orang.

“Bantuan ihsan bagi membantu petani yang terjejas akibat banjir besar ini dijangka dapat diagihkan dalam tahun ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan Kerosakan Pertanian Akibat Bencana Banjir Jajahan Tanah Merah di Pusat Pertanian Batang Merbau, dekat sini, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 81 petani di daerah ini yang terjejas akibat dua gelombang banjir pada akhir 2104 dan awal 2015 menerima bantuan wang ihsan membabitkan peruntukan sebanyak RM52,191.48.

Bantuan disampaikan Ahli Jawatankuasa Umno Tanah Merah, Mohamed Dee Daud bagi mewakili Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha dan turut dihadiri Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penilaian, Jabatan Pertanian negeri, Asrul Sani Ramli.

Mengulas lanjut bantuan ihsan itu, Mohd Nazmin berkata, petani terlibat masing-masing menerima antara RM500 hingga RM1,800 sehektar bergantung kepada jenis pertanian dan keluasan tanah yang musnah akibat dua gelombang banjir tersebut.

“Daripada jumlah penerima hari ini, seramai 71 orang adalah penanam padi, empat penanam buah-buahan serta masing-masing tiga pengusaha tanaman kontang dan penanam sayur,” katanya.

Tambah beliau, penyampaian bantuan ihsan kepada petani terbabit sepatutnya diadakan lebih awal dan dijadualkan akhir tahun lalu tetapi ditangguhkan sehingga semalam akibat banjir besar berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");