Berita Hari Ini

SKMM fokus pembangunan kepakaran

NUSAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) fokus pembangunan kepakaran ke arah menggilap bakat baharu dalam bidang seni kreatif.

Ketua Pegawai Kandungan, Keselamatan dan Inovasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah berkata, usaha sebelum ini lebih terarah pemberian geran untuk menghasilkan animasi, aplikasi mobil dan pembangunan portal.

Bagaimanapun menurutnya, menyedari berlaku kekurangan dari segi kepakaran dalam bidang seni kreatif itu, SKMM menukar peranan dalam bentuk pembangunan kepakaran yang dipercayai mampu mengembangkan bakat juruteknik yang diperlukan.

“Sejak 2011 hingga 2014, kita memperuntukkan RM100 juta sebagai geran yang mana ada kandungan yang keluar di TV1, TV2, Media Prima, Astro dan ada sebahagiannya kita masukkan di laman web.

“Tapi kita tukar kepada pembangunan kepakaran selepas menyedari banyak kekurangan dari segi juruteknik bahagian lampu, juru kamera dan sebagainya berkaitan bidang seni kreatif sehingga terpaksa dibawa masuk dari luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Studio Pinewood Iskandar Malaysia, semalam.

Mohd Ali berkata, SKMM juga turut memainkan peranan memberi kesedaran kepada ibu bapa yang masih belum bersedia membenarkan anak-anak yang berminat menceburi seni kreatif.

“Kita menyedari ada anak minat nak masuk bidang seni kreatif, tapi ibu bapa tak bersedia kerana pada mereka bidang ini tak boleh buat duit.

“Sekarang kita beri kesedaran kerana kalau kita lihat tukang kayu di luar dibayar RM20 hingga RM30 sehari, sedangkan untuk bidang ini boleh menggilap pendapatan sehingga RM150 sehari,” katanya.

Katanya, 54 pelajar dan 14 guru pembimbing serta 10 fasilitator yang merupakan pemenang Liga Remaja Kreatif peringkat negeri terpilih ke program Kem Remaja Kreatif yang dibawa ke lawatan berkenaan.

Lawatan sedemikian julung kali dibuat dalam usaha menggilap potensi peserta dalam bidang seni kreatif selepas seminggu mengikuti kem dengan pelbagai pengisian termasuk penulisan skrip, teknik penggambaran dan seni bengkel.

Sementara itu, peserta dari Kolej Melayu Kuala Kangsar Perak, Mohamad Aniq Fakhrul Mohamad Fauzi, 17, berkata, banyak input menarik berjaya dikutip melalui program berkenaan.

“Alhamdulillah banyak ilmu berguna dapat saya belajar sesuai dengan minat saya dalam seni kreatif ini,” katanya.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Puteri Selangor, Nik Haziqah Akma Nik Hashim, 16, berkata, pengalaman mempelajari bidang pengarahan filem, lakonan dan penggambaran sesuatu yang luar biasa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");