Sukan Hari Ini

Tevez julang Argentina

Vina del Mar, Chile: Carlos Tevez mengemudi Argentina ke separuh akhir Copa America semalam apabila menjaringkan sepakan penalti penentu ketika pilihan utama kejohanan itu menewaskan Colombia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Tevez, yang gagal menyempurnakan penalti penting apabila Argentina tersingkir menerusi penentuan penalti pada kejohanan 2011, merembat kencang sepakan penalti kemenangan selepas sepakan pemain Colombia, Jeison Murillo melepasi palang.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang tampil sebagai pemain gantian pada babak kedua, mencetus suasana dramatik penentuan sepakan penalti itu yang menyaksikan Lucas Biglia dan Marcos Rojo kedua-duanya gagal buat Argentina sesudah kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas 90 minit.

Kemenangan Argentina membantu mereka ke separuh akhir menentang pemenang pertembungan suku akhir antara Brazil dan Paraguay.

Tevez mengakui sumbangannya terhadap kemenangan itu, empat tahun selepas mimpi ngeri dialaminya apabila sepakannya tersasar sekali gus menyaksikan Argentina tersingkir pada kejohanan 2011 di laman sendiri.

“Dalam bola sepak sering kali ada peluang kedua,” kata Tevez, terdahulu mengesahkan kembali ke kelab masa kecilnya Boca Juniors di Argentina.

“Tapi malam ini ia bukannya mengenai saya, ia mengenai rakan sepasukan saya. Rakan sepasukan saya memenangi perlawanan ini dan saya amat berbangga dengan mereka dan saya bangga menjadi sebahagian daripada skuad ini.”

Tevez, yang dibekukan daripada pasukan kebangsaan Argentina selama tiga tahun sebelum kembali selepas Piala Dunia 2014, menyatakan dia gembira dengan peranannya sebagai pemain gantian dalam skuad Albiceleste.

“Saya seronok bermain, pasukan ini beraksi dengan bagus dan saya hanya menanti peluang,” kata Tevez.

Jurulatih Argentina, Gerardo Martino mengakui beliau sengaja tidak menamakan Tevez dalam senarai lima pengambil sepakan penalti ketika penentuan penalti dalam usaha mengendurkan tekanan buat bekas penyerang Manchester City itu.
“Saya tidak meletakkan Tevez dalam senarai lima teratas kerana kali terakhir dia melakukannya, Argentina tersingkir. Kami mahu mengelakkannya daripada berlaku sekali lagi,” dedah Martino.

Kekalahan itu memilukan buat penjaga gol Colombia, David Ospina, yang bertindak baik sepanjang 90 minit dengan beberapa kali mengecewakan pasukan pilihan utama kejohanan itu.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");