Jenayah

Tiga maut, dua cedera kemalangan

RAUB – Tiga maut dan dua cedera, manakala seorang ditangkap kerana positif dadah dalam kejadian kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Batu 3 Jalan Raub-Lipis, di sini sekitar jam 8.25 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, empat kenderaan berkenaan termasuk sebuah Proton Iswara, sebuah Perodua Kancil, sebuah lori membawa muatan roti dan sebuah lori membawa muatan kayu getah.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika pemandu Iswara, Bahari Abu, 63, bersama seorang pekerja buruh warga Indonesia, Abdurrahman, 27, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan terbabas ke kanan jalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lori membawa muatan kayu yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak, sekali gus mengakibatkan berlakunya pertembungan antara kedua-dua buah kenderaan terbabit,” katanya.

Dalam masa sama juga menurutnya, lori membawa muatan kayu terbabit turut bergesel dengan sebuah lori membawa muatan roti yang berada di belakang Iswara terbabit.

“Selepas bergesel dengan lori membawa muatan roti terbabit, lori membawa muatan kayu itu kemudiannya bertembung dengan sebuah Perodua Kancil yang berada di belakang lori yang membawa muatan roti tersebut.

“Pertembungan tersebut juga mengakibatkan lori yang membawa muatan kayu terbabas dan masuk ke dalam gaung di sebelah kanan jalan,” katanya.

Tambahnya, akibat pertembungan itu, kedua-dua pemandu dan penumpang Proton Iswara bersama seorang penumpang kereta kancil, Talib Ibrahim, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.

Selain itu katanya, pemandu Perodua Kancil, Zahim Abdul Rahman, 40, dan seorang lagi penumpang, Mohd Faiz Amirudin, 23, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Raub untuk menerima rawatan lanjut.

“Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia turut dibawa ke Hospital Raub untuk dibedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat cedera teruk di bahagian badan,” katanya.

Bahari berasal dari Cheroh, Abdurrahman berasal dari Lombok Tengah Indonesia manakala Talib berasal dari Kampung Jenut, Sega 2, di sini.

Wan Mohd Zahari berkata, ketika kejadian, pihak polis turut menahan salah seorang pemandu lori yang berasal dari Selangor kerana didapati positif dadah jenis syabu dan heroin selain turut memiliki tiga kesalahan lalu lintas.

Katanya, tempat kejadian merupakan jalan lurus dan terdapat garisan putih putus-putus di tengah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");