Berita Hari Ini

Waktu Perkhidmatan Kaunter LHDN Dipendekkan Sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR: Waktu perkhidmatan di semua pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disingkatkan 30 minit sepanjang bulan Ramadan ini termasuk di pejabat cawangan, Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

LHDN, dalam satu kenyataan di sini, berkata bagi pejabat cawangan dan PKH di semua negeri kecuali Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah, waktu operasi di kaunter perkhidmatan bagi urusan duti setem dan khidmat nasihat percukaian ialah pada Isnin hingga Jumaat bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan bermula pada 8 pagi hingga 5 petang (Ahad hingga Rabu) bagi duti setem dan 8 pagi hingga 3.30 petang (Khamis) bagi urusan khidmat nasihat percukaian.

Semua perkhidmatan di Sabah dan Sarawak pula akan bermula 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut kenyataan itu, kaunter duti setem di semua negeri hanya menerima bayaran sehingga pukul 3.30 petang, manakala PKH akan ditutup pada waktu rehat tengah hari.

Bagi kaunter bayaran cukai pendapatan di Blok 8A, Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, waktu perkhidmatan bermula 7.30 pagi hingga 5 petang, dengan penerimaan bayaran tunai setakat 4.30 petang.

Sementara kaunter perkhidmatan sama di LHDN cawangan Kuching dan Kota Kinabalu dibuka pada 7.30 pagi hingga 4.30 petang, dan bayaran tunai diterima sehingga pukul 3.30 petang.

Menurut kenyataan itu, waktu operasi kaunter perkhidmatan LHDN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Pahang, Kedah dan Johor bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum.

Bagaimanapun, pada Jumaat, perkhidmatan akan ditutup sementara pada waktu rehat bermula 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

Di UTC Sabah, kaunter perkhidmatan LHDN dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang dan ditutup sementara pada waktu rehat bermula 11.30 pagi hingga 2 petang pada Jumaat.

Waktu operasi bagi pusat panggilan LHDN pula dibuka hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.

Selain di kaunter perkhidmatan, sebarang urusan percukaian berkaitan LHDN boleh dibuat di laman sesawang www.hasil.gov.my, menurut kenyataan itu.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");