Jenayah

4 remaja gigit jari

ROMPIN – Empat remaja yang disyaki mencuri sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di Taman Seri Rompin, di sini sekitar jam 3 pagi Ahad kelmarin berjaya ditangkap sepasukan polis sebelum masuk waktu imsak pada pagi sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, keempat-empat remaja lelaki yang berusia 15 hingga 18 tahun itu ditangkap di rumah salah seorang suspek di Kampung Sabak.

“Pemilik motosikal membuat laporan polis berkaitan kehilangan motosikalnya sekitar jam 3 pagi semalam (kelmarin) manakala sepasukan polis yang bertugas melibatkan anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) serta Unit MPV tiba di lokasi suspek berada berdasarkan maklumat awam.

“Ketika serbuan, semua suspek berada di rumah tersebut yang merupakan kediaman keluarga salah seorang suspek. Hasil pemeriksaan menjumpai sebuah motosikal yang telah dilerai di belakang rumah,” katanya.

Menurut Zainul, tidak berlaku sebarang pergelutan ketika serbuan dilakukan dan keluarga suspek yang berada di rumah pada ketika itu juga memberikan kerjasama baik kepada pihak polis.

Katanya, keempat-empat suspek termasuk dua daripada mereka masih bersekolah kini direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat kemungkinan ada kaitan dengan kes kecurian motosikal yang lain.

Dalam pada itu, Zainul turut menasihati orang ramai agar menjaga dan memastikan harta benda seperti motosikal atau kenderaan lain dalam keadaan selamat dengan berkunci atau sebagainya.

“Kes kecurian sebegini tidak mengenal waktu, tempat atau mangsanya.

“Disebabkan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga atau menjaga keselamatan harta benda supaya risiko kehilangan itu dapat dikurangkan atau terus dapat dielakkan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");