Jenayah

Dua jam jari tersekat engsel pintu

PARIT BUNTAR: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam apabila jari telunjuk kanannya tersekat pada engsel pintu rumah yang tercabut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kanak-kanak, Muhammad Iman, 5, dikatakan bermain dengan engsel pintu itu di kediaman keluarganya di Kuala Kurau, di sini.

Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas pelik melihat kelakuan anaknya yang tiba-tiba ‘senyap’ sewaktu dia pulang dari bersiar-siar di tepi laut berdekatan rumah keluarganya.

Menurutnya, melihat perubahan anaknya itu, dia bertanya kepada Muhammad Iman apa yang terjadi selepas melihat perlakuan anaknya seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.

“Ketika itulah, Muhammad Iman menunjukkan jari telunjuk kanannya melekat pada engsel pintu tercabut yang dijadikan alat mainan.

“Saya segera memanggil isteri yang membantu ahli keluarga memasak di dapur dan kami berdua berusaha mengeluarkan engsel yang tersepit pada jari Muhammad Iman,” katanya kepada media di sini.

Bapa mangsa berkata, pelbagai cara dilakukan untuk mengeluarkan jari anaknya termasuk menggunakan air, minyak gamat dan losyen namun gagal.

Menurutnya, selepas lebih 15 minit berusaha, dia dan isteri betindak menghantar Muhammad Iman ke Hospital Parit Buntar bagi membantu mengeluarkan jari anaknya yang tersepit.

“Setibanya di hospital, petugas kecemasan memaklumkan mereka perlu menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Parit Buntar untuk mendapatkan bantuan memotong engsel yang melekat pada jari anak saya.

“Anggota JBPM Parit Buntar mengambil masa setengah jam untuk memotong engsel pintu yang melekat pada jari Muhammad Iman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JBPM Parit Buntar, PBK II Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pada jam 4.35 petang dan tiba di hospital lima minit kemudian.

Katanya, dia bersama seorang lagi anggota bomba menggunakan peralatan fire rescue ring cutter untuk mengeluarkan jari mangsa yang tersekat pada engsel pintu berkenaan.

“Operasi itu berjalan lancar kerana mangsa memberikan kerjasama dan kami mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan jari telunjuk mangsa yang tersepit,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");