Sukan Hari Ini

Hakimi terlepas peluang

Peluang terbaik kontinjen negara untuk menambah pingat di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Gwangju adalah menerusi Muhammad Hakimi Ismail namun atlet lompat kijang itu hanya menduduki tempat keempat semalam.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura berusia 24 tahun itu sekadar mencatat 16.59 meter, berbanding catatan dan rekod kebangsaan yang dipegangnya 16.76m.

Pada saingan di Stadium Piala Dunia Gwangju, pemenang perak dan gangsa dari Burkina Faso Huhues Zango dan Xu Xiaolong dari China turut melakukan 16.76m dengan atlet Russia Dmitrii Sorokin meraih emas menerusi 17.29m.

“Sayang sekali sebab berpeluang untuk meraih pingat, catatan (pingat perak dan gangsa) yang tidak terlalu jauh. Bagaimanapun saya sudah berpuas hati kerana mampu memberikan segala-galanya ketika bersaing.

”Saya berada pada tahap terbaik hari ini (semalam) dan yakin untuk bersaing. Jika jurulatih (Victor Sotnikov) ada di sini, mungkin catatan lebih baik mampu dilakukan,” kata penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Bagaimanapun Hakimi yang tampil buat kali pertama gembira dengan tahap persaingan di Universiade yang memberikan pengalaman baru kepada dirinya.

“Sangat menarik kerana saling mendahului. Saya gemar pertandingan seperti ini kerana boleh melonjakkan diri ke tahap lebih tinggi. Saya memang mencari kejohanan yang menawarkan saingan sengit bagi menilai tahap tekanan,” katanya.

Jelasnya, Universiade dijadikan salah satu sasaran untuk melepasi had kelayakan ke Olimpik iaitu 16.90m namun menegaskan perlu berusaha dengan lebih kuat kerana masih berpeluang sehingga pertengahan tahun depan.

Sementara itu, jaguh baling tukul besi negara Jackie Wong hampir memecahkan rekod kebangsaan yang dipegangnya 63.71m.

Dia melakukan balingan sejauh 63.48m untuk menduduki tempat ke-14 dalam pusingan akhir.

Kegagalan berkenaan menyebabkan Malaysia kekal dengan satu pingat gangsa setakat ini, yang disumbangkan badminton menerusi acara berpasukan campuran.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");