Jenayah

Kecewa ditipu kedai pajak gadai

AYER KEROH: Seorang wanita dari Tehel, di sini, mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah kedai pajak gadai yang beroperasi di negeri ini apabila gagal menebus kembali barang kemas digadainya.

Wanita dikenali sebagai Kumari, 50, berkata, walaupun dia akui terlewat beberapa hari menebus barang kemasnya itu, namun pengusaha kedai berkenaan seolah-olah sengaja tidak mahu menyerahkan kembali barang itu kepadanya.

Manakan tidak, tanpa sebarang notis peringatan atau panggilan telefon, pengusaha kedai memberi alasan barang kemas berkenaan sudah dilelong.

Menurut Kumari, dia menggadaikan barang kemas berbentuk sepasang subang yang dibelikan pada harga RM700 di kedai pajak terbabit untuk meminjam RM150 bagi menampung keperluan perbelanjaannya pada Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia terlewat melakukan tebusan mengikut surat pajakan yang dikeluarkan iaitu 9 Julai lalu.

“Saya terlupa tarikh itu dan hanya datang untuk tebus pada 19 Julai lalu, terlewat 10 hari. Malangnya, tauke kedai itu enggan melayan saya dan langsung tiada tolak ansur, meskipun saya merayu dan menawarkan bayaran sebulan bunga.

“Dia beri alasan, barang kemas saya sudah dilelong tetapi apabila saya minta surat sebagai bukti dia enggan mengeluarkannya,” katanya.

Kumari berkata, dia merasa tertipu dengan kedai berkenaan menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin serta merujuk kes itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna.

“Polis juga menasihatkan saya agar merujuk masalah tersebut ke Pejabat Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) kerana mereka juga ada menerima beberapa laporan membabitkan kedai pajak gadai yang sama.

“Tujuan saya mengadukan perkara ini bagi mengelakkan ramai lagi yang terkena dan menjadi mangsa kedai pajak gadai ini” katanya ketika mengadukan masalah tersebut kepada Pembela BN Melaka, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan menulis surat kepada kedai pajak terbabit bagi membuat rayuan agar dapat memberikan toleransi terhadap perkara tersebut.

“Sekiranya mereka enggan, kita akan membawa perkara ini ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membolehkan satu tindakan diambil terhadap kedai pajak terbabit.

“Dalam masa sama, saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kedai pajak gadai sebegini yang meraih keuntungan dengan cara tidak berhemah,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");