Membawang Hari Ini

Kunjungan ceriakan Yazit

Hospital kini ibarat rumah kedua buat pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 53, sejak dia mengalami masalah buah pinggang lapan tahun lalu.

Baru-baru ini, pemuzik yang mesra dengan panggilan Abang itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas doktor mengesan terdapat keracunan di bahagian jantungnya.

Sejak dimasukkan ke HKL, Yazit menerima kunjungan pelbagai pihak yang datang memberikan semangat dan motivasi.

Antaranya Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Berhad Datuk Aziz Bakar yang juga bekas Pengurus Besar BMG Music dan pengurus Search hadir melawat Yazit bersama beberapa bekas kakitangan BMG Music, baru-baru ini.

Kehadiran mereka menyuntik sinar keceriaan buat Yazit yang kini kelihatan lemah di wad Radioterapi & Onkologi HKL sambil ditemani isterinya, Ramlah Ahmad, 55.

Yazit berkata, dia sudah belajar daripada pengalaman masuk wad sebelum ini.

“Kita tak perlu halang peminat atau sesiapa pun datang melawat kerana mereka bertujuan baik. Seronok apabila mereka datang berbual-bual dan kata imej saya sudah lain berbanding dulu.

“Saya kini fokus kepada jantung kerana pemindahan buah pinggang tak dapat dilakukan selagi jantung saya tak memuaskan. Atas nasihat doktor, saya juga mula berhenti merokok,” katanya.

Yazit sebelum ini merayu orang ramai mendermakan buah pinggang kepadanya.

Menurutnya, dia sudah menunggu selama enam tahun dan berharap ada insan berhati mulia sudi membantunya satu hari nanti.

“Untuk mendapatkan penderma buah pinggang bukan masalah besar. Masalah sebenarnya ialah sama ada penerima itu sihat atau tidak kerana jika digantikan buah pinggang baru, takut keadaannya jadi semakin teruk,” katanya.

Rasa tertipu

Yazit kecewa apabila dia tidak menerima wang daripada tabung bantuan yang diwujudkan untuknya ketika Konsert Search Live in Istana Budaya, Kuala Lumpur, Disember tahun lalu.

“Satu sen pun saya tak nampak wang sumbangan yang dikatakan itu. Budak-budak buskers yang jemput saya dalam program mereka lebih jujur kerana boleh kotakan janji.

“Mereka hanya jemput saya untuk turut serta dan selepas selesai program, saya diberikan sumbangan. Saya malas nak cakap panjang lebar kerana nanti saya yang jadi mangsa,” katanya.

Selain itu, Yazit turut mendakwa dia tidak mendapat bayaran seperti dijanjikan untuk konsert itu.

“Bayaran saya untuk konsert itu diberi kepada pihak lain sebelum diserahkan kepada saya. Apabila sampai ke tangan saya, jumlah berkura­ngan sebanyak RM2,000,” katanya.

Impian hari raya

Ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri Jumaat ini, Yazit reda jika dia terpaksa meraikannya
di hospital. Namun, jika dibenarkan keluar, dia teringin berehat di pulau dan jauh daripada kesibukan.

“Doktor minta saya segarkan minda semula dan berkunjung ke pulau adalah pilihan terbaik saya. Lagipun semua orang akan meraikan Aidilfitri dan seakan-akan satu kejutan pula jika tak meraikannya,” katanya.

Sementara itu, Aziz meminta semua pihak mendoakan agar Yazit segera sembuh.

“Apa yang boleh ditolong, kita tolong. Sampai di tahap ini, yang dia perlukan adalah semangat. Ini dapat memberikan harapan dan motivasi buatnya.

“Kalau ramai-ramai doakan kesihatannya, Allah SWT pasti makbulkan. Apatah lagi ini adalah waktu yang paling bagus untuk berdoa. Saya juga akan berbincang dengan bekas kakitangan BMG untuk buat sesuatu bagi membantu Yazit,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");