Sukan Hari Ini

Pengubat duka Los Incas

PERU mengulangi pencapaian mereka empat tahun lalu di mana sekali lagi menghuni tangga ketiga, Copa America 2015, selepas menundukkan Paraguay, 2-0, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, semalam.

Beraksi di Estadio Municipal de Concepcion, di Concepcion, Chile, kedua-dua pasukan yang mahu mencari kemenangan sebagai pengubat duka gagal menjelmakan sebarang jaringan sepanjang separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Peru hanya memerlukan tiga minit untuk menggegar jaring Paraguay melalui jaringan Andre Carrillo.

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, Paraguay kembali mengatur langkah dengan beberapa percubaan bahaya namun gagal menembusi benteng pertahanan lawan.

Mengikut rekod, Peru menghasilkan 13 percubaan di mana empat daripadanya tepat ke sasaran manakala Paraguay melakukan lapan percubaan.

Paraguay terpaksa akur dengan kelebihan Peru selepas lawan mereka itu melebarkan kedudukan melalui jaringan kedua, seminit sebelum masa sebenar berakhir.

Gol kedua Peru hadir pada minit ke-89 menerusi Paolo Guerrero.

Empat tahun lalu di Argentina, Peru menduduki tangga ketiga, menumpaskan Venezuela, 4-1.

Cabaran lebih besar buat Peru

Jurulatih Peru, Ricardo Gareca menyanjung tinggi usaha pemainnya selepas menundukkan Paraguay sambil mempercayai bahawa pasukannya akan terus meningkat di masa akan datang.

Biarpun mengulangi pencapaian empat tahun lalu, Gareca tidak mahu pemainnya terus berpuas hati kerana aksi di masa hadapan lebih mencabar.

Katanya, mereka tidak boleh berehat sebaliknya terus berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana semua pemain sudah memberikan segalanya dalam kejohanan ini.

“Kami menang ketika berdepan pasukan yang hebat,” katanya.

Los Incas selepas ini akan menjalani persiapan berdepan kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Gareca percaya Peru akan berjaya melakukannya.

“Kami akan berdepan cabaran yang lebih besar dan kami perlu bersiap-sedia bermula hari ini,” katanya.

Sinar harapan buat Paraguay

Bagi pengendali Paraguay, Ramon Diaz, biarpun tewas dalam perebutan di tangga ketiga, dia tetap percaya bahawa La Albirroja akan memberi harapan yang baru di masa hadapan.

Harapan pengendali dari Argentina berusia 55 tahun itu begitu tinggi sambil menjelaskan mereka berada di landasan yang tepat.

“Ramai yang berfikir kami hanya mampu bertahan selama tiga hari di sini tetapi kami bertahan hampir sebulan.

“Copa America ini memberikan pengajaran berguna buat semua pemain. Kami akan belajar daripada kesilapan dalam kejohanan ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");