Membawang Hari Ini

Pesan Didie Alias kepada bakal menantu

KUALA LUMPUR, 20 Julai:

Aktres yang cukup sinonim dengan watak komedi, Didie Alias mengakui sambutan Syawal kali ini memberikan kegembiraan yang berganda buat dirinya.

Pertamanya, Aidilfitri tahun ini memberikannya peluang untuk beraya sakan dengan anak bongsunya, Muhammad Dayyan, setahun, yang merupakan anak pertama hasil perkahwinan keduanya dengan suami, Norisham Ismail.

“Tahun lalu, saya sarat mengandung, bersalin dan kemudiannya berpantang. Jadi, rutin menyambut Hari Raya itu sedikit terbatas dan kuranglah juga rasa meriahnya.

“Apabila Dayyan (panggilan untuk anak) sudah besar dan berusia setahun, maka, tahun ini memang meriah dan saya sendiri cukup teruja untuk meraikan Syawal bersama-sama keluarga.

“Apatah lagi, tahun ini Dayyan juga sudah mula hendak belajar berjalan dan semakin galak untuk meraih perhatian ramai (ketawa). Apa lagi, memang dia sahajalah yang menjadi tumpuan kali ini,” cerita Didie sambil berseloroh ketika ditemui dalam satu majlis di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Dayyan, pemilik nama lengkap Fadzilah Mohd. Ali ini memiliki lima orang cahaya mata lagi masing-masing berusia dari 16 hingga 22 tahun yang merupakan hasil perkahwinan pertamanya dengan aktor, Redzuan Hashim.

Sedang asyik bersembang, seperti mana yang dikatakan oleh Didie di awal perbualannya, Syawal ini memberikan makna yang berganda buat dirinya apabila bakal menerima menantu dalam tempoh dua minggu lagi.

Merasakan dirinya seperti bermimpi kerana tidak percaya anak sulungnya, Nur Dhaniyah akan menamatkan zaman anak daranya tidak lama lagi, pelakon berusia 43 tahun ini mengakui perasaannya bercampur-baur ketika ini.

Sudah pasti, sebagai seorang ibu, hatinya terusik apabila mengenangkan anaknya itu bakal menjadi seorang isteri dalam usianya yang masih muda.

“Jujurnya, air mata seorang ibu itu tidak dapat saya bendung daripada mengalir apabila kali pertama dia memberitahu bakal suaminya mahu menyuntingnya sebagai isteri dan kemudiannya mahu menghantar rombongan merisik.

“Lebih-lebih lagi, apabila saya memikirkan bagaimana susahnya saya membesarkan dirinya dengan kudrat dan tulang empat kerat saya ini sewaktu mengalami zaman kesusahan dulu.

“Kini, dia sudah mahu berkahwin. Sudah pasti, sebagai seorang ibu, saya memberikan restu kerana memikirkan jodohnya sudah tiba. Apa yang saya pinta daripada bakal menantu saya kelak adalah untuk menjaga, menyayangi dan mendidik anak saya ke arah yang lebih baik,” jelas pelakon filem Boss dan Kanta Serigala ini dalam nada perlahan.

Disebabkan itu kata Didie, dia cukup sibuk mengendalikan dan merancang persiapan perkahwinan anaknya itu kerana semuanya dilakukan olehnya sendiri memandangkan anaknya lebih mempercayai kredibiliti serta kemampuan ibunya.

Malah, dia juga akan menganjurkan majlis perkahwinan anaknya itu serentak dengan rumah terbukanya pada 8 Ogos ini.
Sementara itu, Didie Alias turut melahirkan rasa terharunya apabila menerima dua pencalonan dalam Anugerah Lawak Warna 2015 yang akan diadakan pada 21 Ogos ini.

Bagi kategori Pelakon Komedi Wanita Terbaik TV, dia yang tercalon bagi telefilem Nak Kahwin Lagi itu bakal berentap dengan empat calon hebat lain iaitu Amyza Adnan, Azizah Mahzan, Jihan Muse dan Liza Abdullah.

Bukan itu sahaja, Didie juga menerima saingan sengit daripada Amyra Rosli, Jasmin Hamid, Jihan Muse, Sharifah Sakinah dan Zulin Aziz untuk merebut gelaran Artis Lawak Wanita Paling Popular (Solo).

Sebelum ini, Didie merupakan penerima sulung kategori berkenaan pada Anugerah Lawak Warna 2013.

-http://bm.therakyatpost.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");