Jenayah

‘Saya buat salah, saya minta maaf’

KOTA BHARU – “Saya buat salah, saya minta maaf,” rayu seorang lelaki warga Myanmar sebelum dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 kerana merasuah anggota polis, di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Adli Md Ghalib terhadap tertuduh yang juga etnik Rohingya itu, Jubair Shuna Ali, 19, selepas dia mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa memberi rasuah wang tunai berjumlah RM50 kepada seorang anggota polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang tidak memiliki lesen memandu di Simpang Tiga, Jalan Pulai, Gua Musang, pada jam 10.15 pagi, 17 Ogos, tahun lalu.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu hukumannya diringankan dan mengakui dia telah melakukan kesilapan serta memohon maaf di hadapan hakim.

“Saya buat salah, saya minta maaf. Saya balik kampung susah, mati bunuh. Saya buat salah, saya minta denda,” katanya dalam bahasa Melayu pelat.

Rayuan itu bagaimanapun dihujah balas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shahidah Muslimah Roslan dengan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya dan orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Tertuduh yang menunggang motosikal bersama rakannya ditahan polis yang sedang dalam tugas rondaan. Pemeriksaan mendapati penunggang tidak mempunyai lesen.

Salah seorang daripada mereka, iaitu tertuduh kemudian memberikan sogokan RM50 sambil berkata, “kita sama-sama Islam” bagi melepaskan diri daripada kesalahan itu.

Shahidah Muslimah pada prosiding itu, turut mengesahkan mereka adalah etnik Rohingya, namun tidak berdaftar selain dipercayai masuk ke Malaysia secara haram.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan dalam tempoh tiga bulan kerana gagal menjelaskan denda.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");