Isu Panas

Umno terbuka beri ahli bebas bersuara

KOTA TINGGI – Umno Johor berpendirian untuk lebih bersifat terbuka dengan memberi peluang kepada peringkat akar umbi menyuarakan pandangan masing-masing terhadap sesuatu isu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menghormati setiap pandangan diberikan oleh seluruh ahli kerana ia juga perlu diambil perhatian.

“Saya percaya pelbagai pihak ada pandangan tersendiri dan ingin menyuarakan idea masing-masing.

“Sebagai sebuah parti yang bersifat terbuka, kita tidak menahan sesiapa untuk bersuara. Saya juga percaya kita perlu dengar suara di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman YPJ Plantations Sdn Bhd dengan Intact Corporate Approach Sdn Bhd.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor itu berkata demikian, ketika diminta untuk mengulas mengenai desakan dibuat Pemuda Umno negeri yang meminta pemimpin tertinggi supaya memberikan penjelasan sebenar berkaitan pelbagai dakwaan kebelakangan ini.

Sinar Harian semalam, menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim berpendapat tindakan segera itu penting bagi membolehkan Umno terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat sekali gus tidak terpengaruh dengan fitnah atau dakwaan isu semasa.

Hahasrin menyuarakan pandangan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed di sini, Sabtu lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang, memaklumkan pihaknya yakin seluruh Bahagian parti itu juga telah bersedia mengadakan mesyuarat perwakilan.

“Saya percaya semua bahagian bersedia adakan mesyuarat perwakilan yang mana untuk kawasan saya (Umno Pasir Gudang) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) turut hadir,” katanya yang tidak memaklumkan tarikh berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");