Membawang Hari Ini

Zur Eda terkenang arwah ibu…

JIKA tahun-tahun sebelumnya, sambutan Aidilfitri di kediaman pelakon veteran ini antara yang paling meriah di kawasan Paya Jaras, Sungai Buloh.

Namun, pada tahun ini, kemeriahannya kurang dirasai apatah lagi kehilangan orang yang tersayang pada awal Ramadan tahun lalu memberi kesan yang cukup besar buat Zur Eda.

Meskipun ianya adalah tahun kedua tanpa kelibat ibu tersayang, Allahyarhamah Che Mah Mahmod, 75, namun kesedihan itu masih sama dirasai seperti tahun lalu.

Menurut penyanyi popular di era 80-an ini, setiap kali musim perayaan, ibunya adalah orang yang terpenting dalam penyediaan makanan dan kelengkapan rumah.

“Sejak tahun lalu, raya saya tidak bermakna. Selalunya, pada malam raya, kami sekeluarga akan ke Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk menyaksikan kemeriahan raya di kota. Namun, sejak tahun lalu, saya memilih untuk berada di rumah seorang diri.

“Sambil saya mop lantai dan bersihkan rumah, saya akan bercakap sendirian seolah-olah bercakap dengan mak. Saya luahkan kerinduan saya dengan cara itu.

“Suasananya sungguh berbeza sekali apabila kita berada bersama mak dan tiada mak di sisi. Walaupun kemeriahan suara anak-anak dan keluarga terdekat, namun tidak sama dengan mak di sisi,” katanya sambil mengelap air mata.

Bercerita mengenai pengalaman raya bersama ibunya, Zur Eda memberitahu adat dan cara ibunya menyambut Ramadan dan Aidilfitri berbeza sama sekali dengan kebanyakan orang lain.

“Sejak saya kecil lagi, mak saya akan menghias rumah dan menukar langsir baharu di malam pertama Ramadan.

Katanya, Ramadan perlu diutamakan berbanding Aidilfitri kerana Malaikat akan datang ke rumah.

“Jadi, rumah perlu berhias cantik dan kemas untuk menyambut kedatangan Ramadan. Arwah seorang yang teliti dan rapi malah, masakan dia juga adalah yang terbaik.

“Saya banyak belajar daripadanya resipi-resipi istimewa termasuk biskut raya yang saya jadikan sebagai punca pendapatan sampingan. Saya rindukan rendang hijau, ketupat dan rendang yang arwah sediakan,” katanya sebak.

Lokasi keluarga berkumpul

Walaupun tanpa ibu di sisi, namun perayaan setiap tahun perlu diteruskan demi keluarga dan adik-adik memandangkan dia adalah anak sulung dalam keluarganya.

Menurut ibu kepada Siti Sarah Zulkifli, 26, dan Mohd Naqib Zulkifli, 19, ini, sebagai kakak sulung, rumahnya akan menjadi lokasi wajib untuk adik-adik dan keluarga terdekat berkumpul.

“Setiap tahun, kami beraya di Kuala Lumpur kerana tiada kampung lain. Rumah ibu bapa saya di Gombak dan mertua pula di Kampung Baru. Jadi, kami akan berkumpul semuanya di sini.

“Sebelum ini, seminggu sebelum puasa, emak sudah berada di rumah saya sehinggalah hari raya. Lagipun, di kawasan itu, kebanyakannya adalah dari kalangan keluarga dan saudara mara saya. Kami tinggal berdekatan dalam kawasan yang sama memandangkan itu adalah
tanah pusaka keluarga.

“Setiap tahun, saya yang masak menu istimewa untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu antaranya gulai ayam kalio dan nasi impit. Kebiasaannya, 15 ekor ayam dan berpuluh kilogram daging akan disediakan untuk juadah raya,” katanya.

Tambah Zur Eda, pada malamnya pula, dia akan menyediakan menu wajib iaitu nasi putih, sambal sardin, asam pedas dan ikan masin.

“Memang pada malam itu, hidangannya adalah nasi putih dan lauk-lauk berkenaan. Jadi, dari siang ke malam, saudara mara memang akan serbu ke rumah saya sebab mereka tahu akan ada makanan ini, ” katanya.

Raya dalam banjir

Bertanya mengenai pengalaman raya yang tidak dapat dilupakan, Zur Eda memberitahu bahawa dia pernah diduga pada tahun 1999, apabila terpaksa menyambut Aidilfitri dalam banjir.

“Sehari sebelum raya, saya pergi meniaga di Mines Wonderland. Apabila pulang, saya terkejut melihat keadaan rumah yang ditenggelami air. Ketika itu, ada pembangunan projek perumahan yang sedang dibina di kawasan berdekatan sehingga mengakibatkan banjir lumpur di kawasan rumah saya.

“Tiada apa yang terluah dari mulut saya kerana kesemua barang, perabot, kelengkapan rumah dan persiapan untuk raya musnah dalam insiden itu. Pada pagi raya itu, kami tidak dapat beraya seperti tahun sebelumnya.

“Saya cuba membersihkan perabot dan perhiasan rumah, namun tidak berhasil kerana air lumpur itu merosakkan segalanya. Sehingga kini, saya masih tidak dapat melupakan kejadian itu dan berharap agar ianya tidak akan berulang lagi,” katanya.

Tambah Zur Eda, walaupun terpaksa berdepan dengan kemusnahan yang tidak dijangka, namun selepas itu dia diberikan rezeki yang mencurah-curah.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");