Membawang Hari Ini

Adiba harap raih kemenangan

Selepas lima tahun bergelar pelakon, bakat Adiba Yunus, 27, akhirnya diiktiraf apabila tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM27) menerusi filem Nasi Tangas.

Ternyata, watak Murni daripada filem arahan Hashim Rejab itu memberi impak terhadap lakonannya. Gandingan Adiba dengan Azwan Kombos dalam filem itu juga menjadi hingga mereka makin dikenali.

Adiba atau nama sebenarnya Siti Adibah Yunus sangat bersyukur dengan pencalonan itu, lebih-lebih lagi saingannya bukan calang-calang seperti Dawn Cheong dari filem Cuak, Aisya Hasnaa (Dollah Superstar), Nad Zainal (Kami Histeria) dan Izara Aisyah (Sejoli).

“Mungkin tema filem ini yang berkaitan ilmu hitam membuatkan ia diterima baik penonton seterusnya memikat hati juri. Ini kali pertama saya membawa watak utama dan berjaya tercalon dalam FFM 27.

“Mulanya agak terkejut juga, tapi saya gembira kerana usaha selama lima tahun mula menampakkan hasil. Pencalonan ini membawa erti tersendiri kerana bukan untuk mendapat tempat dalam FFM.

“Watak Murni mencabar saya sebagai pelakon. Saya perlu menjadi seorang isteri yang lemah lembut, tetapi menyihir suaminya kerana tak sanggup berkongsi kasih dengan wanita lain. Saya kena banyak bermain dengan emosi dalaman,” katanya.

FFM27 akan berlangsung pada 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Meneruskan cerita, gadis berasal dari Negeri Sembilan ini berharap dapat meraih kemenangan menerusi kategori itu, tetapi dia akur sekiranya rezeki tidak memihak kepadanya.

“Saya enggan meletakkan harapan, tapi segala-galanya boleh berlaku nanti. Kalau ditakdirkan ada rezeki, saya akan terima dengan senang hati. Tercalon dalam kategori lima terbaik pun sudah memadai buat masa ini.

“Ia juga membakar semangat untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam lakonan. Saya perlu mengekalkan momentum lakonan saya di mata peminat,” katanya yang pernah bergelar perunding kecantikan.

Berganding dengan Nas-T

Adiba kini dihujani banyak tawaran berlakon dan selain Nasi Tangas, dia juga membintangi beberapa filem antaranya Badi dan Banglo Berkunci.

Badi yang bakal ditayangkan 15 Oktober depan menyaksikan Adiba sekali lagi digandingkan dengtan Azwan Kombos.

Selain itu, Adiba turut diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama bersiri berjudul Dendam Semalam arahan Azaromi Ghozali bergandingan dengan Iqram Dinzly untuk slot Azalea TV3.

Terbaru, Adiba kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Kalau Dah Cinta bersama Nas-T.

“Semua itu rezeki saya. Sebelum ini saya bekerja keras dan berusaha gigih mencipta nama biarpun hanya melakonkan watak kecil. Alhamdulillah dari situ, saya mula diberi kepercayaan melakonkan watak utama dalam drama dan filem.

“Diakui saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Untuk itu saya akan terus belajar memantapkan lakonan agar berada pada tahap terbaik,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");