Membawang Hari Ini

Afgan jadi dambaan peminat

Andai engkau tau betapa ku mencinta,
Selalu menjadikanmu isi dalam doaku,
Ku tahu tak mudah menjadi yang kau minta,
Ku pasrahkan hatiku, takdir kan menjawabnya,

Jika aku bukan jalanmu,
Ku berhenti mengharapkanmu,
Jika aku memang tercipta untukmu,
Ku kan memilikimu,
Jodoh pasti bertemu…

KEINDAHAN lirik lagu yang dialunkan dengan kelunakan suara jejaka berlesung pipit ini benar-benar memberi kesan mendalam buat si pendengar.

Ditambah pula dengan pakej lengkap yang dimilikinya mampu membuatkan rata-rata peminat terutamanya golongan wanita seakan histeria menyaksikan persembahannya.

Itulah gambaran yang boleh diberikan mengenai aura yang dipunyai oleh pemilik nama Afgan Shah Reza atau Afgan.

Mula dikenali dengan ‘Terima Kasih Cinta’, penyanyi berusia 26 tahun ini dilihat lebih menonjol dan lebih manis bilangan peminatnya juga semakin bertambah.

Sekarang, tidak kiralah di Indonesia mahupun di Malaysia, namanya bukan lagi asing malah ‘Jodoh Pasti Bertemu’ telah berjaya membuka mata lebih ramai peminat muzik menyedari kehebatannya.

“Alhamdulillah, jika dilihat pada awal kemunculan, sekarang peminat semakin bertambah. Jika sebelum ini mereka hanya kenal saya dengan satu lagu, sekarang mereka sudah mula terbuka untuk menikmati lebih banyak lagu-lagu saya yang lain.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka diberi peluang untuk mengembangkan karier di Malaysia di mana saya sering menerima undangan nyanyian di sini.

“Perjalanan karier berjalan dengan positif dan semuanya tidak akan tercapai tanpa peminat dan juga ‘team’ yang tidak pernah berhenti memberi sokongan,” bicaranya.

Tidak menafikan kelebihan penyanyi lain yang tidak kurang hebatnya, Afgan bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai satu persaingan malah lebih memberi motivasi kepada dirinya.

“Dari segi persaingan, seperti yang kita lihat ramai penyanyi lelaki yang bagus seperti Judika, Cakra Khan, Marcel, Tulus dan ramai lagi.

“Masing-masing memiliki keistimewaan dan saya sendiri tidak terlalu fokus pada perkara itu malah tidak anggap ia sebagai persaingan. Tapi kadang-kadang kehebatan mereka itu membuat saya lebih bermotivasi untuk terus berikan yang terbaik,” ujarnya.

Afgan jelas hubungan bersama Raisa

Selain karier, kisah peribadi Afgan sering menjadi perhatian di kalangan peminatnya. Sebelum ini hubungan mesranya bersama diva popular Indonesia, Datuk Rossa pernah menimbulkan dakwaan mereka menjalinkan hubungan cinta.

Namun, keduanya tegas menyatakan mereka berkawan baik malah sudah seperti satu keluarga. Bagaimana pun, Afgan akui selain Rossa, penyanyi senegaranya yang dikenali sebagai Raisa Andriana turut antara teman rapatnya buat ketika ini.

“Kami hanya berkawan dan hubungan kami dilihat lebih rapat mungkin kerana projek yang kami sedang jalankan. Kami mengenali sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya dan Raisa kini dalam proses pembikinan single duet dan kami sering menghabiskan waktu bersama memandangkan lagu itu adalah ciptaan kami berdua.

“Siapa pun jodoh saya, kalau saya sudah yakin, pasti saya akan beritahu. Saya tidak takut untuk berterus terang lagi pun peminat saya sekarang lebih memahami dan matang,” katanya yakin.

Biarpun diusik dengan soal cinta, Afgan sebenarnya dilihat antara penyanyi yang jarang ditimpa gosip. Saya rasa semakin hari boleh dikatakan teman saya semakin sedikit. Mungkin sebab itu cerita peribadi saya jarang keluar.

“Saya lebih memilih kualiti daripada kuntiti dan dari segi pergaulan memang saya bataskan kepada orang yang saya percaya dan memberi tunjuk ajar ke jalan yang benar.

“Sebelum ini memang ada tempoh di mana saya mahu ‘explore’ dan berkenalan dengan ramai orang tapi lama- kelamaan saya lebih memilih dan itu membuatkan saya lebih tenang,” ujarnya.

Suara hati Afgan

Kali terakhir beraksi di negara ini menerusi ‘Terima Kasih Cinta With Afgan @KL Tower’ bersempena Minggu Setiausaha April lalu, kini penyanyi berkaca mata itu sekali lagi tampil menerusi konsert ‘Suara Hati Afgan’ yang akan diadakan pada 18 September ini.

Konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini disifatkan sebagai persembahan terbesar sepanjang kariernya di Malaysia.

Menyedari harga tiket konsert yang dijual pada harga yang agak tinggi, Afgan bagaimanapun tidak meletakkan perkara itu sebagai kayu pengukur dirinya sebaris dengan penyanyi bernama besar yang lain.

“Cita-cita saya bukan mahu setaraf dengan nama besar lain tapi saya mahu beri yang terbaik dari saya.

“Insya-Allah kalau semua berjalan dengan lancar, penonton pasti menikmati konsert ini dengan baik kerana saya benar-benar akan memberikan 100 peratus komitmen terhadapnya kerana ini konsert terbesar saya di sini.

“Saya tidak pernah terfikir dengan harga tiket sudah membuatkan saya setaraf dengan penyanyi besar lain dan itu bukan fokus utama saya,” jelasnya.

Harga tiket konsert anjuran Netzah Production Sdn Bhd ini yang dijual serendah RM133 sehingga RM855 menerusi talian www.myticket.asia.

Mengulas lebih lanjut mengenai persembahan itu, Afgan memberitahu selain menyampaikan 23 buah lagu popularnya, dia juga mengundang beberapa penyanyi lain seperti Rossa dan DJ Fuzz untuk tampil bersamanya di pentas.

“Sepanjang persembahan nanti, saya akan cuba beri sesuatu yang lebih segar khas buat peminat. Antara 23 buah lagu termasuk single baharu ‘Knock Me Out’, saya juga akan sampaikan lagu Ku Mohon nyanyian Datuk Shiela Majid. Sebenarnya saya ada menyimpan hasrat untuk mengundangnya turut serta dalam konsert ini.

“Mungkin akan ada perbincangan dengan pihaknya dan saya berharap dia akan terima sebab saya adalah peminat setianya sejak dari dahulu lagi,” katanya teruja.

Februari lalu, Afgan buat pertama kalinya telah beraksi dalam konsert solonya ‘Dari Hati Afgan’ di Dewan Planary Pusat Konvensyen Jakarta (JCC).

Album keempat

Dalam perkembangan lain, Afgan sempat memberitahu selepas selesai konsert dia akan kembali fokus pada pembikinan album keempat yang dijangka siap sepenuhnya Oktober nanti.

“Knock Me Out yang saya akan nyanyikan pada konsert nanti adalah single pertama untuk album ini.

“Pembikinan single ini adalah hasil kolaborasi saya bersama Taufik Batisah dan bagi saya lagu ini memiliki keistimewaan yang tersendiri selain bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini.

“Taufik memang sudah ada lagu ini dan asalnya ia dimuatkan dengan lirik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris tapi untuk kesesuaian saya menukarnya dengan penambahan bahasa Indonesia.

“Buat masa ini kesemua 12 lagu telah dipilih untuk album itu dan 11 buah lagu masih belum direkodkan,” katanya yang juga berhasrat untuk lebih mendalami bidang lakonan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");