Membawang Hari Ini

Boleh terus ikuti pengajian

Tuah tidak menyebelahi Muhammad Hilman Fabli atau Hilman, 23, apabila terpaksa meninggalkan pentas persaingan Da’i musim ketiga meskipun hujah bernasnya menerusi topik Sayap Kiri Khalifah mendapat pujian barisan juri.

Program dipancarkan secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ahad lalu itu menyaksikan Hilman dan empat peserta lain iaitu Luqmanul Hakim Joohari (Luqman, 26), Ahmad Fuad Mohd Mokhtar (Fuad, 20), Muhammad ‘Asri Hijrah Damni (Hijrah, 25) serta Muhamad Ariffin Nordin (Ariffin, 21) yang dibimbing Murabbi Ustaz Elyas Ismail daripada kumpulan Ar-Rijaal membahaskan topik pilihan masing-masing selama lima minit di hadapan penonton serta juri.

Format program Da’i memberi kebebasan kepada Ustaz Elyan menyingkirkan peserta. Walaupun berat hati, beliau terpaksa melaksanakan amanah itu dengan menyingkirkan Hilman yang memungut markah terendah iaitu 63.6 peratus.

Ustaz Elyas ketika ditemui mengakui mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan.

“Ikutkan memang berat hati kerana hubungan dengan semua peserta amat rapat dan saya nampak mereka ada potensi untuk terus maju.

“Ketika latihan masing-masing menunjukkan kelebihan dan kualiti tersendiri. Cuma mungkin depan khalayak mereka agak gementar. Saya menilai semula itu dan mendapati Hilman ada kelemahan.

“Peserta lain pula agak baik dalam semua situasi. Namun ini konsep pertandingan dan Hilman tiada rezeki dalam Da’i,” katanya.

Mursyid Da’i Datuk Ustaz Kazim Elias pula puas hati dengan persembahan semua peserta. Baginya mereka boleh berikan penyampaian lebih baik pada minggu seterusnya.

“Mereka dibayangi perasaan gemuruh yang boleh diperbaiki lagi. Selain itu mereka juga kena perbaiki penggunaan dalil dan nas al-Quran dalam tajuk yang dikupas.

“Ada juga peserta lari tajuk dan maksud hujah tidak sampai. Saya dapati ada peserta menyanyi dan ia tidak salah. Cuma, lagu yang dipilih biarlah ada kaitan dengan topik.

“Mengenai Hilman pula, kita akan berikan dia peluang terus mengikuti pengajian dalam Da’i. Adatlah gagal dalam pertandingan, tetapi dia masih boleh timba ilmu daripada murabbi,” katanya.

Sementara itu Hilman dapat menerima keputusan itu dengan lapang hati.

“Setiap apa yang berlaku dalam hidup ini adalah ketentuan Allah.

“Apa yang penting saya dapat merasai pengalaman terbabit dalam program ini. Jika diberi peluang saya sudi terbabit dengan program TV3,” kata lulusan Diploma Tahfiz Quran Wal Qiraat dari Kolej Universiti Insaniah, Kedah ini.

Minggu hadapan, peminat dapat melihat persembahan kumpulan An-Nisaa yang dibimbing Ustazah Dr Robiah K Hamzah.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");