Sukan Hari Ini

NS Matrix buang semua pemain

SEREMBAN – Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) telah melepaskan semua pemain dan jurulatih pasukan NS Matrix ekoran aksi hambar yang dipamerkan mereka sepanjang kempen Liga Perdana musim ini.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat pengurusan PBNS kelmarin tetapi tidak melibatkan bakat-bakat muda berusia bawah 22 tahun dari pasukan Piala Presiden.

“Mereka sudah diberi peluang dan kami telah banyak melabur, terlampau banyak sehingga sama atau lebih daripada pasukan yang berada dalam Liga Super kerana matlamat yang disasarkan ialah untuk layak semula ke Liga Super musim depan.

“Kami ambil pemain yang baik dan bayar gaji tetapi mereka tidak me­nunjukkan prestasi permainan yang setara dengan gaji. Mereka dapat gaji RM40,000 tetapi nilai persembahan macam RM5,000 sahaja. Jadi lebih baik kami lepaskan mereka semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini semalam.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mencari dan memilih bakat-bakat baharu termasuk empat pemain import dan jurulatih dari luar negara.

Jelasnya, pemain import yang akan diserap ke dalam pasukan adalah yang tidak pernah menyertai mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

“Saya sudah beri kebenaran untuk ke luar negara, jangan tengok video sahaja. Saya juga arahkan dua tiga orang ahli jawatankuasa pergi ke negara-negara yang dikenal pasti boleh dapat pemain (bagus) untuk mewakili Negeri Sembilan tahun depan dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.

Mohamad berkata, mesyuarat itu juga telah memutuskan untuk melak­sanakan sistem pemberian insentif jika NS Matrix berjaya memungut tiga mata dalam setiap perlawanan.

“Kami akan bayar gaji pokok dan beri elaun menang. Setiap kali menang misalnya diberi RM50,000 dan dibahagikan antara pemain. Jadi kalau nak duit, mesti menang,” katanya.

Pada musim ini, NS Matrix yang dikendalikan oleh K. Devan menduduki tangga keenam Liga Perdana dengan 32 mata. Mereka juga gagal ke Piala Malaysia setelah kalah 3-0 kepada ATM dalam playoff kelmarin.

– http://www.utusan.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");