Jenayah

Bunuh di lombong

Sepang: Empat lelaki termasuk tiga anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang peniaga di lombong tebatan banjir Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya, 7 Julai lalu.

Tertuduh, pengusaha kolam ikan Lim Chun Jie, 26, serta tiga anggota SMART iaitu Syazwan Saat, 29; Iskandar Zulkarnain Abdul Manaf, 28, dan Mhd Idris Abu Bakar, 40, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Alias Mat Noor, 52, antara jam 10 malam hingga 11.55 malam.

Keempat-empat tertuduh memahami pertuduhan dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aizatul Akmar Maharani.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mereka kelihatan tenang selepas pertuduhan itu dibacakan.

Tertuduh kedua diwakili peguam bela Aqeeb Lizalman Nordin Zamery manakala, tertuduh yang lain diwakili peguam Najmi Dawami.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada 7 Julai lalu antara jam 10 malam hingga 11.55 malam bertempat di lombong tebatan banjir Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya di dalam daerah Sepang, Selangor dengan niat bersama sebagaimana ditakrifkan mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Alias Mat Noor.

Ia satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, hakim menetapkan tarikh 7 September ini bagi sebutan semula kes untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan kimia.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");