Perak Hari Ini

DUKE Bakal Sampaikan Ceramah, Libatkan Pelbagai Kaum

IPOH: Penceramah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias akan menyampaikan ceramah dalam satu program yang melibatkan pelbagai kaum pada 5 September depan.

Program yang bertajuk ‘Ceramah Perpaduan – Keluarga Bahagia, Merdeka!’ tersebut akan berlangsung di perkarangan KEMAS Sungai Siput bermula pada jam 9 malam.

Ianya telah dianjurkan oleh lebih 10 persatuan yang terdiri daripada empat kaum utama di Sungai Siput iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Antara yang terlibat adalah KRT Taman-Taman Muhibbah Sg. Siput dengan kerjasama KSK Jalong, Persatuan Kebajikan & Komuniti Muhibbah, NADI Sg. Siput, Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Sg. Siput dan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia Sg. Siput.

4 (4)

Menurut Kazim atau lebih dikenali dengan Ustaz Kazim, buat julung kalinya persatuan yang terdiri daripada orang bukan Islam menganjurkan ceramah seumpama itu untuk komuniti dan masyarakat setempat.

Katanya, ia menunjukkan bahawa rakyat di negara ini khususnya di negeri Perak bersatu padu dalam penganjuran program sebegini meskipun berbeza bangsa, kaum dan fahaman agama.

“Ini secara langsung dapat menggalakkan masyarakat untuk tidak menjadikan agama sebagai batas perbezaan pendapat atau sebagainya kerana meskipun kita berbeza pegangan agama, namun ada banyak benda yang kita boleh bersatu hati,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

2 (2)

Ujar beliau lagi, perbezaan agama yang dianuti oleh masyarakat tidak boleh dijadikan sebagai titik perpecahan, sebaliknya perlu diambil kesamaan yang ada untuk mencari titik pertemuan dan melakukan sesuatu yang terbaik.

“Sebab itu saya amat sokong dengan program persatuan-persatuan tersebut walaupun yang jumpa saya itu India, Cina dan Orang Asli, tetapi mereka sepakat,” tegasnya.

Dalam pada masa yang sama, Ustaz Kazim berkata, ceramah tersebut secara tidak langsung dapat meredakan isu yang berlaku pada masa kini termasuklah perkauman dan rasis.

“Sekurang-kurangnya ada satu kelainan yang kita buat dan kelainan ini dapat buat orang fikir untuk balik kepada konsep asal iaitu perkongsian, hidup dalam sebuah negara dimana masing-masing saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau juga berharap agar program seumpama itu mampu menjadi contoh kepada masyarakat di seluruh negara.

5 (3)

Sementara itu, jurucakap kepada program tersebut, Lim Yean Meng berharap agar Sungai Siput dapat dijadikan sebagai tapak permulaan program seumpama itu.

Ujarnya, pemilihan Ustaz Kazim sebagai penceramah di program berkenaan adalah menepati tema ceramah itu sendiri yang mana ianya menyentuh tentang kekeluargaan, pendidikan dan sifat kasih sayang kepada ibu bapa.

“Sebelum ini ramai diantara rakan-rakan saya daripada persatuan yang bukan beragama Islam mengikuti rancangan Ustaz Kazim di televisyen dan saya dapati bahawa ceramah yang disampaikan amat bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, ia secara tidak langsung dapat menyemai perasaan yang sama dalam diri setiap masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Memandangkan kita sebagai satu Malaysia dan berbilang kaum, perkara ini kita nak kekalkan dan melalui program yang dianjurkan oleh pelbagai kaum ini, ianya dapat menjadi contoh kepada semua,” katanya.

‘Ceramah Perpaduan – Keluarga Bahagia, Merdeka!’ yang dianjurkan tersebut akan menampilkan pelbagai persembahan menarik antaranya qasidah dan nasyid dalam tiga bahasa iaitu Melayu Mandarin dan Tamil oleh pelajar- pelajar Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Selain itu, terdapat juga pembacaan ikrar Rukun Negara oleh seorang murid berumur 12 tahun yang akan dibacakan dalam empat bahasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");