Membawang Hari Ini

Peminat berasak-asak untuk bergambar

Siri kedua jelajah Bas Drama Sangat TV3 dan TV9 melabuhkan tirainya hujung minggu lalu selepas menjelajah lima lokasi di Kedah, Perlis dan Perak.

Program yang berlangsung di pusat beli-belah Village Mall, Sungai Petani; Alor Setar Mall; Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Majlis Perbandaran Kangar; dan Angsana Mall, Ipoh itu mendapat sambutan cukup meriah apabila lebih 40,000 peminat hadir.

Program berkenaan disertai lapan artis daripada tujuh drama yang ditayangkan di TV3 dan TV9 seperti Izreen Azminda dan Sherry Ibrahim daripada drama Eksperimen Cinta, Raja Ilya (Cinta Iris), Janna Nick (Syurga Nur), Syafie Naswip (Wadi) serta Uqasha Senrose, Anas Ridzuan dan Issey Titan menerusi drama Penggembaraan Jason Murad.

Sama seperti siri pertama jelajah di Melaka Mei lalu, acara kali ini membawakan konsep sama iaitu peminat berpeluang beramah mesra dengan artis di samping pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung bertuah menerusi acara permainan pentas.

Menariknya, sepanjang perjalanan ke setiap lokasi, rombongan membabitkan pihak media, artis dan kru disajikan dengan episod terbaru setiap drama.

Di dalam bas juga, artis bergilir-gilir mengendalikan sesi interaksi bersama peminat di laman Twitter.

Sesi pertama di Village Mall dan Alor Setar Mall, Jumaat lalu cukup meriah.

Ketibaan bas disambut dengan sorakan peminat walaupun jadual perjalanan sedikit lewat, mereka setia menanti hingga tamat acara.

Memasuki hari kedua, aktiviti sedikit berbeza apabila sesi ramah mesra lebih kepada riadah dan sukan.

Pada sebelah pagi bertempat di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Majlis Perbandaran Kangar, artis dan peminat melakukan senamrobik.

Pada sebelah petang pula perlawanan badminton diadakan di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perlis.

Dalam perlawanan itu, setiap artis berpasangan dengan peminat dan pasukan diwakili Issey, Raja Ilya dan Anas Ridzuan muncul juara.

Pada hari terakhir, rombongan Bas Drama Sangat menuju ke Angsana Mall, Ipoh dan sambutan kali ini lebih meriah.

Segenap bahagian pusat beli-belah itu dipenuhi peminat yang sudah menunggu dua jam lebih awal.

Disebabkan peminat berasak-asak untuk bergambar dan memenuhi ruang parkir bas, perjalanan balik sedikit terganggu.

Pengawal keselamatan yang ditugaskan terpaksa mengalih perhatian peminat dengan membawa artis keluar menaiki van.

Selain itu, siri jelajah ini turut membawa empat pemenang di setiap lokasi dengan menaiki bas.

Artis kongsi pengalaman

Berkampung selama tiga hari di lokasi terbabit memberikan pengalaman berbeza bagi setiap artis terbabit. Tambahan pula, kebanyakan daripada mereka pertama kali menyertai acara ini.

Bagi pelakon utama Eksperimen Cinta, Izreen Azminda, pengalaman bertemu peminat di tiga negeri itu sangat bermakna untuknya.

“Walaupun pertama kali menyertai acara ini, saya gembira kerana dapat berjumpa peminat apatah lagi dapat beramah mesra dengan mereka. Di samping itu, rakan artis yang turut serta juga sangat ‘sporting’.

“Saya hargai kesungguhan peminat datang semata-mana nak berjumpa dan bergambar bersama. Biarpun masa di setiap lokasi itu tak lama, tapi saya cuba manfaatkan sebaiknya. Sebolehnya tak nak ada seorang pun terkecuali dan berkecil hati, tapi ia di luar kawalan kami,” katanya.

Menurut Izreen, sorakan dan tepukan buatnya tanda sokongan daripada peminat terhadap watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.

Lain pula bagi Sherry Ibrahim apabila dia sedikit kecewa kerana tidak dapat memenuhi permintaan setiap peminat.

“Saya tahu peminat datang nak berjumpa, bersalam dan bergambar, tapi tidak semua terlayan kerana kesuntukan masa hingga ada menulis di laman Instagram mengatakan saya dan rakan artis lain sombong.

“Saya berharap di siri jelajah akan datang masa bagi aktiviti ramah mesra dipanjangkan,” katanya yang tetap teruja melihat sambutan diberikan terhadapnya.

Sementara itu, pelakon baru, Janna Nick tidak menyangka drama Syurga Nur lakonannya meraih perhatian ramai.

“Sebelum ini saya pernah menyertai program sebegini tapi sambutannya berbeza. Mungkin impak drama Syurga Nur itu membuatkan orang ramai memberi perhatian kepada saya.

“Mulanya gementar nak melihat reaksi peminat sama ada mereka suka atau tidak. Alhamdulillah, sambutan sangat positif dan itu membuatkan saya lega,” katanya.

Bagi Raja Ilya pula, acara terbabit mendekatkan lagi dirinya dengan peminat.

“Seperti rakan artis lain, saya juga pertama kali turut serta di acara ini. Ini langkah terbaik bagi setiap pelakon mempromosikan drama lakonan masing-masing di samping dapat beramah mesra dengan peminat.

“Sebelum ini saya kerap melakonkan watak jahat, jadi peminat menyangka saya jahat. Apabila berjumpa secara langsung, baru mereka sedar saya sebaliknya. Sedikit sebanyak program sebegini dapat menonjolkan sisi lain dalam diri saya,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");