Jenayah
Like

Ganja bernilai RM258,000 dirampas di Relau

August 12, 2015
44 Views
0 Comments
1 minute read
Ganja bernilai RM258,000 dirampas di Relau

GEORGETOWN: Seorang lelaki, dipercayai antara anggota sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini, ditahan dan polis menemui sejumlah 86 kilogram ganja bernilai RM258,000 dalam but keretanya di sebuah kawasan apartmen di Relau di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Superintendan Guan Beng Kang berkata, pemeriksaan di rumah lelaki berusia 41 tahun itu dibuat Isnin (10 Ogos) lepas, hasil siasatan terhadap lelaki terbabit yang ditahan di Alor Star, Kedah, sehari sebelum itu (9 Ogos).

“Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) menemui 86 kilogram ganja itu dalam ruang khas dalam but kereta jenis Honda Civic milik lelaki terbabit yang diletakkan di kawasan parkir apartmen itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang ditahan itu adalah anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di negeri ini dan siasatan mendapati penganggur itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lepas.

Lelaki terbabit mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan polis percaya kesemua ganja yang dirampas itu adalah untuk pasaran negeri-negeri di utara Semenanjung, katanya.

Beng Kang berkata, polis percaya penahanan lelaki terbabit berjaya melumpuhkan antara sindiket penyeludupan dan pengedaran ganja terbesar di negeri ini dan usaha mengesan beberapa lagi anggota sindiket itu giat dijalankan.

– Bernama

Komen & Pendapat

Leave a Reply