Membawang Hari Ini

Giliran Ramona Cipta Nama

BAGI segelintir selebriti, alam rumah tangga pastinya memberi impak kepada kehidupan khususnya kerjaya mereka.

Lebih-lebih lagi ada yang menyifatkan setelah berkahwin dan bertukar status, rezeki dalam bidang seni semakin kurang.

Tetapi berbeza pula bagi bekas finalis dewi remaja 2009/2010 ini.

Mengakui rezekinya dalam bidang lakonan semakin mencurah kini, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam atau lebih dikenali sebagai Ramona Zam Zam berkata, dia tidak menyangka impiannya untuk lebih dikenali dalam bidang seni lebih menyerlah berbanding di zaman
solonya dahulu.

“Rasanya sepanjang tiga bulan berkahwin ni memang waktu saya sangat sibuk dengan penggambaran sahaja, sehinggakan ada juga tawaran lain yang tidak sempat diterima.

“Kerana itu saya tidak merasai perbezaan sebelum berkahwin atau tidak kerana masa saya lebih banyak terisi dengan kerja,” katanya kepada Zass.

Jelas pelakon filem Jengka ini, dek kerana terlalu sibuk, dia dan suaminya, Rami Alashka masih belum sempat untuk ‘honeymoon’.

“Buat masa sekarang kami masih belum dapat cuti panjang bersama.

“Apa pun Alhamdulillah mungkin sekarang masa saya untuk mencipta nama,” katanya yang merupakan rakan seangkatan Neelofa, Anzalna Nasir dan Izara Aishah menerusi dewi remaja 2009/2010.

Dalam pada itu, Ramona berkata, walaupun tahun ini dia meraikan Syawal sebagai isteri namun ianya tidaklah terlalu berbeza.

“Kami hanya pulang ke kampung saya pada hari raya pertama sahaja.

“Kemudiannya, kami pulang semula ke Kuala Lumpur dan saya mula sibuk dengan kerja.

“Ada pun, masa saya dengan dia hanya ke kompleks membeli-belah dan di rumah sahaja,” kata Ramona merancang untuk ke Indonesia dalam masa terdekat ini.

Ditanya apakah suaminya tidak cemburu atau menghalang kerjaya seninya selepas berkahwin, kata Ramona, dia bertuah kerana mempunyai suami yang sangat memahami.

“Itu antara faktor mengapa saya memilih dia menjadi suami. Dia seorang yang faham karier saya dan tidak kisah sekiranya saya kekal aktif sebagai pelakon.

“Malahan dia turut menyokong dan memberi sepenuh kepercayaan. Namun, saya mesti tahu batas-batas seorang isteri dan tidak menyinggung perasaannya,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, walaupun sudah berkahwin, tawaran karakter yang diberikan kepadanya juga semakin mencabar dan pelbagai.

“Ingatkan bila dah kahwin watak yang diberikan lebih ringan dan biasa-biasa sahaja, tetapi sebaliknya pula.

“Saya mendapat watak yang lebih hebat dan di luar jangkaan,” ujar pelakon cinta jangan pergi ini.

Belum sedia bergelar ibu

Kehidupan selepas berkahwin pastinya lebih bermakna dengan kehadiran cahaya mata. Bagaimanapun kata pelakon berusia 25 tahun ini, dia masih belum bersedia menjadi ibu.

“Saya rasa usia masih muda dan tanggungjawab tersebut sangatlah besar.

“Lagipun saya telah berbincang dengan suami dan dia juga menyetujuinya. Jadi kami rancang, dalam masa setahun atau dua tahun ini kami masih belum bersedia mempunyai anak,” katanya.

Pada masa sama, ujarnya, dia juga ingin fokus kepada karier buat masa sekarang.

“Alhamdulillah, karier saya semakin menjadi-jadi kini, jadi lebih elok saya buat sebaik mungkin dalam bidang ini terlebih dahulu dan barulah berikan perhatian sepenuhnya sebagai isteri dan ibu nanti,” katanya.

Namun, jelas Ramona ia bukan bermakna dia tidak mahu menjadi ibu sampai bila-bila.

“Insya-ALLAH, jika ada rezekinya nanti, adalah,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharunya pula, Ramona bakal muncul menerusi drama Cinta Tak Jadi yang akan disiarkan di Astro Ria 10 Ogos ini pada jam 10 malam.

“Dalam cerita ini saya menjadi rakan kepada Fathia Latif. Memang seronok berlakon dalam drama ni sebab saya turut ditawarkan watak utama,” katanya yang menjadi Cici menerusi drama itu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");