Membawang Hari Ini

‘Kami tak rancang’

Kehadiran Amyra Rosli yang berpakaian warna sedondon dengan Amar Baharin pada majlis rumah terbuka pelakon lelaki itu di Brickfields, Kuala Lumpur, Ahad lalu seakan-akan menguatkan lagi gosip mereka sedang bercinta.

Namun, seperti sudah menyediakan skrip, Amar mengakui apa yang berlaku hanya secara kebetulan.

Katanya, mereka berdua langsung tidak berpakat untuk mengenakan pakaian sedondon pada majlis ini.

“Amyra memang dijemput hadir ke majlis ini, tapi saya memang tak sangka pula dia juga akan pakai baju warna sama. Sepatutnya saya pakai baju warna lain, tapi pakaian itu dihantar ke dobi dan belum siap.

“Kebetulan saya hanya ada pakaian ini dan nak tak nak kenalah pakai juga. Saya dah agak ia pasti akan mengundang cerita lain, tapi apa nak buat lagi. Cuma harapnya orang tak salah anggap pada kami,” katanya.

Menurut Amar, majlis anjurannya serta keluarga ini diadakan bagi meraikan jiran, rakan artis serta peminat.

“Selalunya keluarga kami hanya buat rumah terbuka di rumah sendiri di Kediaman Kakitangan Awam Brickfields. Tahun ini rezeki lebih sedikit jadi kami buat secara besar-besaran di dewan di sini.

“Tetamu yang diundang sekitar 400 orang, tetapi bilangan yang hadir agak ramai dan melebihi jangkaan. Ini dikira pengalaman pertama kami anjurkan majlis besar begini.

“Istimewanya dalam majlis ini kami berpeluang bertemu jiran dan dapat beramah mesra dengan mereka. Sebelum ini saya pun jarang dapat menghabiskan masa dengan mereka kerana sibuk berlakon,” katanya.

Menurutnya, majlis rumah terbuka untuk peminat menerusi kelab peminat Amar Baharin Official Page (ABOP) pula akan berlangsung di Singapura pada 15 Ogos ini.

“Sebelum ini saya sudah anjurkan majlis berbuka ABOP di Malaysia pada ming­gu ketiga Ramadan. Jadi, kami akan buat timbal balik dengan menganjurkan majlis rumah terbuka di sana pula.

“Tujuannya untuk mengeratkan hubungan yang terjalin di antara semua. Ahli kelab ternyata menyukai cara ini dan memberikan sokongan terhadap program yang dianjurkan,” katanya.

Berlakon teater

Amar kini terbabit dengan penggambaran drama bersiri Alif Imani terbitan Suhan Movies yang akan disiarkan menerusi slot Ratu di TV9.

Memasuki awal September, dia akan fokus dengan latihan untuk teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck arahan Siti Rohayah Attan yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada penghujung bulan yang sama.

“Sebagai pemegang watak utama bernama Zainuddin, saya perlu fokus betul-betul dalam latihan. Saya dah menonton filemnya serta baca novel tulisan Hamka ini dan mendapati karyanya sangat menarik.

“Peminat juga tahu berkenaan cerita ini, jadi saya perlu memperlihatkan lakonan yang mantap agar semua pihak puas hati. Saya juga menolak semua tawaran lain bagi menumpukan perhatian penuh terhadap teater ini,” katanya yang sebelum ini berlakon teater Akulah arahan Erma Fatima yang dipentaskan di Esplanade Singapura.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");