Sukan Hari Ini

Kafa mahu FAM berlaku adil

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berlaku adil berhubung keputusan pembayaran tunggakan gaji RM636,000 kepada bekas jurulatihnya, Steve Darby, baru-baru ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, biarpun pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat, namun secara peribadi beliau dukacita apabila keputusan memihak bekas pengendali Kelantan itu.

“Dalam kes Steve Darby, sampai sekarang kita tak tamat kontraknya. Kita tengok dia tak tunjuk prestasi baik sebagai jurulatih, jadi kita beri kerja lain (pengarah teknikal), sebab dalam kontrak tak sebut dia diambil sebagai jurulatih sebaliknya pegawai pasukan.

“Tapi dia enggan (terima jawatan itu), terus tinggalkan Kelantan. Maknanya dia gagal hadir bekerja, jadi kita nak berunding pun tak boleh. Malah dia hilang diri empat hingga enam bulan tanpa kebenaran, itu tidak pula jadi kesalahan besar.

“Tiba-tiba kita dipaksa bayar semua gajinya. Kalau semua orang buat perangai macam itu, tak adil kepada persatuan. Macam mana kita hendak bayar RM636,000 kepada orang tak buat kerja. Harap FAM faham sendirilah,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, semalam.

Jawatankuasa Status FAM 28 Julai lalu mengarahkan Kafa membayar tunggakan gaji Darby dalam tempoh 14 hari bermula tarikh surat dikeluarkan FAM.

Annuar juga meminta FAM tidak menjadi pihak berkuasa yang hanya menjatuhkan hukuman sebaliknya mahu pendekatan baharu dilakukan demi melindungi ahli gabungannya.

“Jangan buat kontrak untuk lindungi jurulatih atau pemain sahaja sebab yang nak kena keluar duit adalah kelab, kecuali kelab diberi hak untuk buat draf (kontrak) sendiri tapi kita pula tak dibenarkan, sebaliknya kena guna pakai kontrak dibuat FAM.

“Ia (kontrak) mesti lindungi kedua-dua pihak dan penaksiran jangan senget sebelah. Contoh bila jurulatih gagal, majikan ada hak tamatkan kontrak. Kalau tak boleh, bagaimana pula Mohd Azraai Khor Abdullah (bekas jurulatih Kelantan) boleh tamatkan sendiri khidmatnya.

“Bukan ke dia sepatutnya bayar kita (Kafa). Harap benda macam ini kena kaji lebih mendalam. Setiap jurulatih kita ambil walaupun ada kontrak dua hingga tiga tahun, kalau tak tunjuk prestasi bagus, dia boleh diberi notis ditamatkan. Kita buat demikian (tamatkan kontrak) untuk memajukan pasukan bola sepak,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");