Isu Panas

Komplot guling kerajaan: Lagi penafian Ahli Parlimen BN

BATU PAHAT: Susulan dakwaan di media sosial pada Isnin yang mengaitkan 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan komplot menggulingkan kerajaan, dua lagi ahli Parlimen BN tampil membuat penafian.

Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong berkata, penyebaran maklumat yang turut mengaitkan namanya itu disifatkan sebagai fitnah, lapor Utusan Malaysia.

Noraini mendakwa, tindakan tersebut bertujuan melaga-lagakan pemimpin dan ahli parti selain hanya mahu menimbulkan perpecahan dalam kalangan mereka serta masyarakat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam komplot yang ada niat menjatuhkan kredibiliti dan nama baik saya selaku Ahli Parlimen BN,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga ahli Parlimen Pulai turut menafikan dakwaan yang membabitkan dirinya, lapor portal The Star Online.

Menurutnya, dakwaan itu mungkin helah untuk membangkitkan persengketaan dalaman di dalam UMNO.

“Motifnya mungkin untuk mengalih perhatian dan menimbulkan sengketa antara kita dan bukannya menentang Pembangkang,” kata Nur Jazlan.

Beliau yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjelaskan bahawa suasana politik semasa mendorong penyebaran berita palsu.

“Sehingga isu membabitkan perdana menteri selesai, tuduhan sebegitu pasti akan tersebar luas,” katanya lagi.

Noraini dan Nur Jazlan merupakan Ahli Parlimen BN yang keenam dan ketujuh tampil membuat penafian selepas langkah sama dilakukan Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Normala Abdul Samad (Pasir Gudang), Datuk Hasbullah Osman (Gerik) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau).

BACA: Guling kerajaan: Ahli Parlimen BN nafi terlibat, digesa buat deklarasi terbuka

Lanjutan daripada itu, beberapa ahli Parlimen BN akan membuat laporan polis terhadap blog Suara Hati yang menamakan mereka antara kalangan 20 yang terbabit dalam komplot menggulingkan kerajaan.

Pengerusi Kelab Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad mahu siasatan dijalankan terhadap berita palsu ini kerana gambar ahli Parlimen berkenaan turut dipaparkan di dalam blog tersebut.

Beberapa ahli Parlimen terbabit dijadual mengadakan sidang media di Parlimen petang ini, kata Shahrir.

Dijangka beberapa ahli Parlimen BN lain yang tersenarai akan mengambil langkah sama untuk tampil membuat penafian hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pada Sabtu mendedahkan ada ‘tokoh tertentu’ daripada kalangan parti pemerintah yang ingin menggulingkan kerajaan.

Ahmad Zahid turut mendedahkan kewujudan komplot untuk menarik 37 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai 87 pembangkang serta seorang anggota Parlimen Bebas.

Beliau berkata ini bertujuan untuk membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 pada Oktober ini.-awani

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");