Sukan Hari Ini

Makin ‘panas’

Wisconsin, AS: Kemunculan semula Rory McIlroy selepas kecederaan untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan PGA AS di Whistling Straits hujung minggu ini menyemarakkan saingan kejohanan utama terakhir tahun ini ketika Jordan Spieth (gambar) menyasarkan untuk melakar satu lagi sejarah golf.

Pemain nombor satu dunia McIlroy dan pemain ranking kedua Spieth memenangi empat daripada lima kejuaraan utama terakhir dan ketika masing-masing berusia 26 dan 22 tahun, mereka dijangka mendominasi saingan pada peringkat tertinggi selepas ini.

Fokus utama di Whistling Straits adalah Spieth, yang akan berusaha menyertai warga senegara dari Amerika Syarikat, Ben Hogan dan Tiger Woods sebagai pemain ketiga dalam era moden menang tiga kejuaraan utama dalam setahun.

Hogan yang pertama melengkapkan catatan hatrik itu pada 1953 diikuti Woods pada 2000.

Sesudah menjuarai Masters AS pada April lalu dan Terbuka AS Jun lalu, Spieth gagal dalam usahanya merangkul tiga kejuaraan utama pertama musim apabila dia hanya berkongsi tangga keempat pada Terbuka British di St Andrews bulan lalu dan hanya dipisahkan satu pukulan untuk menyertai play-off.

“Saya sedar hanya beberapa kali pemain berjaya menang tiga kejuaraan utama setahun dan ia pasti sesuatu yang istimewa,” kata Spieth tatkala bersedia turun pada pusingan pertama esok di Whistling Straits di Kohler, Wisconsin.

“Tapi seperti pada Terbuka British, apabila saya tiba di sana, saya hanya memikirkan mengenai kejohanan itu dan itulah yang berlegar dalam fikiran saya… tidak terfikir mengenai tiga kemenangan berturut-turut atau Grand Slam.

“Ia akan mengendurkan tekanan buat saya kerana lebih mudah buat saya fokus terhadapnya sebagai satu kejohanan.”

Pemenang empat kejuaraan utama McIlroy turut mencuri tumpuan di Whistling Straits apabila dia kembali bermain secara kompetitif selepas berehat lebih tujuh minggu.

Pemain Ireland Utara itu, yang berkongsi tangga kesembilan pada Terbuka AS di Chambers Bay pada penampilan terakhirnya, tidak beraksi sejak dia mengalami kecederaan ligamen buku lali kiri ketika bermain bola sepak bersama rakan pada 4 Julai lalu.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");