Membawang Hari Ini

‘Spirit of the coins’ versi tempatan

JANGAN di sangka, air yang tenang tiada buaya. Begitulah pepatah yang sesuai diberikan kepada filem seram terbaharu taruhan pengarah Kay Shan, berjudul Homestay: Permainan Maut.

Manakan tidak, homestay yang diketahui tempat nyaman dan selesa untuk bercuti serta bersantai pada awalnya bertukar menjadi tempat yang menyeramkan.

Keadaan bertukar menjadi episod menyeramkan kepada sekumpulan pengunjung homestay ini selepas mereka sendiri menganggu ‘mahkluk’ yang sudah lama bersemi di situ.

Begitulah idea asal pengarah ini yang ada persamaan dengan permainan spirit of the coins yang popular pada suatu masa dahulu.

Menurut Kay Shan, idea untuk menghasilkan filem terbitan Dream Pix Media Sdn Bhd sebenarnya muncul pada awal tahun lalu dan menyerahkan skrip kepada beberapa penerbit lain.

“Tetapi idea saya itu ditolak kerana dikatakan memakan kos yang tinggi apabila perlu banyak menggunakan teknik grafik dan menggunakan pelakon yang ramai.

“Apabila semua tidak dapat menerbitkannya, saya telah mencabar diri saya sendiri dan syarikat produksi saya untuk menghasilkan filem ini sendiri,” katanya kepada Zass.

Oleh itu, pada awal Mei lalu, Kay Shan telah memulakan penggambaran filem tersebut yang menelan kos hampir RM1 juta di tiga lokasi terpilih.

“Antaranya, homestay di Kuala Selangor, Giant Kuala Selangor dan Kolej Segi Subang Jaya.

“Penggambaran filem ini pula mengambil masa lebih kurang 26 hari yang telah selesai penggambaran kini dan hanya berbaki satu untuk penggambaran ekstra yang akan dijalankan pada awal September akan datang,” katanya.

Filem ini mengisahkan mengenai pengalaman sekumpulan pelajar kolej yang mahu menghabiskan cuti semester mereka dengan sesuatu yang berbeza.

Dari bandar metropolitan, mereka menuju ke kampung untuk merasai suasana perkampungan. Mereka tinggal disalah satu homestay di kampung tersebut. Tuan homestay pada awalnya telah memberi amaran untuk tidak mendekati satu bilik stor yang telah berkunci kerana menempatkan barang lama rumah itu.

Namun, ada kalangan pelajar kolej ini yang mengingkari amaran tersebut dan menjumpai sekeping kertas di dalam stor itu.

Daripada kertas itu, pelajar berkenaan mula bermain permainan maut yang akhirnya ia memakan diri sendiri apabila mula diganggu. Dan segala gangguan hanya boleh ditamatkan oleh pelajar yang sama.

Pelakon kena rasuk

Bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan filem seram ini. Bukan kerana kos dan mahu berikan keseraman kepada penonton, tetapi ada yang lebih mencabar bagi sesetengah krew produksi ketika proses menghasilkan filem genre sedemikian.

Bagi Kay Shan sendiri, sepanjang penggambaran di homestay tersebut, dia, pelakon dan krew mengalami gangguan.

“Memang saya sendiri mengalami dan terdengar beberapa bunyi aneh dari homestay itu ketika permainan maut itu dimulakan pelakon tersebut. Ada antara pelakon juga, mengalami kesan calar pada tangannya ketika bangun pagi di homestay bersebelahan.

“Selama empat hari kami melakukan penggambaran di homestay itu, memang sering ada gangguan. Tetapi saya telah berpesan kepada semua terlibat agar membiarkan perkara itu dan tidak terlalu memikirkannya selagi belum selesai penggambaran,” katanya.

Selain itu, bukan sahaja diganggu dari segi bayangan sahaja, tetapi ada antara pelakon yang seakan mula terkena rasukan.

“Ada salah seorang pelakon wanita yang mula memberikan reaksi berbeza daripada skrip asal. Dan apabila kami melihat keadaan sedemikian, ada antara rakan pelakon itu, menenangkannya dan memintanya untuk bersolat terlebih dahulu sebelum menyambung semula penggambaran.

“Selepas solat itu, pelakon itu kembali seperti biasa dan kami meneruskan penggambaran yang terganggu sebelum itu.

“Tidak dinafikan juga selepas berakhir penggambaran di homestay itu, kesemua pelakon, krew dan saya sendiri demam. Memang seram juga arahkan filem kali ini,” katanya.

Homestay – Permainan Maut mempertaruhkan pelakon baharu seperti Sofea Shaheera, Syamimi, Rohayu, Sri Priya, Aien, Danish, Iswadi, Azeem, Afifi dan Kimi.

Cabaran emosi

Kay Shan turut berkongsi yang filem bakal ditayangkan pada November ini memberikannya satu lagi cabaran emosi kepadanya apabila ayahnya sendiri telah meninggal dunia.

“Yang paling mengganggu emosi saya apabila, saya dikhabarkan oleh keluarga yang ayah saya sendiri meninggal dunia pada waktu penggambaran di Kuala Selangor itu. Memang sebelum ini, ayah telah beberapa kali dimasukkan ke dalam wad kerana sakit jantung dan saya juga bercadang untuk menangguhkan dahulu penggambaran filem ini.

“Tetapi disebabkan homestay itu akan penuh pada tarikh berikutnya jika kami tangguhkan, saya terpaksa teruskan juga walaupun ada risau di hati tentang kesihatan ayah. Selepas sahaja tahu ayah meninggal, saya meminta agar ditangguhkan seketika penggambaran,” katanya.

Disebabkan penangguhan itu, Kay Shan berkata, dia ada satu lagi penggambaran ekstra yang perlu diselesaikan pada September ini untuk melengkapkan filemnya itu sebelum ditayangkan.

Serah kepada LPF

Setiap filem yang akan ditayangkan mesti melalui tapisan dan pemeriksaan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Justeru mengulas sama ada dirinya risau sekiranya filem seram yang dihasilkan itu akan dipotong beberapa babak seperti kebanyakan filem seram lain oleh LPF, jawab Kay Shan, dia bersedia berdepan dengan keadaan itu.’

“Dari awal saya sudah pastikan filem yang saya hasilkan ini tidak akan dipotong oleh LPF kerana segala babak tidak berlebihan atau mengerikan sehingga boleh dipotong.

“Segala babak kami telah lihat ia sesuai untuk ditonton kesemuanya tanpa ada adegan yang dianggap berlebihan dan perlu dipotong.

“Tetapi segalanya kami serah kepada syarat LPF untuk meneliti filem kami ini yang akan diserahkan dua minggu selepas proses penyuntingan selesai,” katanya.

Mengulas pula mengenai pemilihan pelakon yang kebanyakannya merupakan pelakon sampingan drama, Kay Shan memberitahu, pemilihan mereka kerana yakin bakat lakonan pelakon sampingan dan pembantu itu boleh pergi lebih jauh.

“Saya memilih kebanyakan mereka bukanlah pelakon popular yang ada sekarang dan hanya pelakon bagi watak pembantu dalam beberapa drama.

“Kerana sebenarnya mereka punyai bakat yang bagus dalam bidang lakonan yang boleh dinaikkan. Salah satunya adalah melalui lakonan dalam filem seperti ini. Terbukti mereka memang berbakat.

“Mereka juga lebih baik daripada saya perlu mengambil pelakon baru yang memerlukan bimbingan dan latihan lakonan untuk menjayakan sesuatu watak itu, jadi ia memakan masa,” katanya.

Apa yang penting kata Kay Shan, dia menghasilkan filem seram itu bukan semata-mata untuk hiburan penonton.

“Tetapi di dalamnya ada pengajaran di mana, masyarakat jangan mudah terpengaruh dan mahu mencuba sesuatu yang bertentangan dengan agama. Apabila itu yang dilakukan, akidah akan terpesong dan diri juga akan alami kesusahannya,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");