Sukan Hari Ini

Temui rentak

Cincinnati, AS: Roger Federer mengatasi permainan berkarat pada aksi pertamanya sejak Wimbledon ketika pemain tumpuan wanita, Maria Sharapova dan Venus Williams menarik diri kerana cedera pada kejohanan Masters Cincinnati ATP dan WTA, semalam.

Federer yang berehat lebih sebulan selepas kalah final Wimbledon di tangan Novak Djokovic, menundukkan Roberto Bautista Agut 6-4, 6-4 sekali gus meningkatkan rekod ke atas pemain Sepanyol itu 4-0 tanpa kalah sebarang set.

Namun pemain berusia 34 tahun itu berkata, dia memerlukan masa menyesuaikan diri dengan kondisi perlawanan selepas berehat seketika.
“Ia kemenangan yang bagus, tapi pasti lebih sukar selepas ini,” kata Federer yang memburu rekod kejuaraan ketujuh di sini.

“Saya tidak bermain agak lama dan berasa agak berkarat beberapa ketika pada set pertama. Saya perlukan perlawanan ketika ini, jadi ia satu permulaan bagus di sini.

“Saya gembira melepasi halangan pertama. Saya berehat sehari esok dan boleh memikirkan mengenai apa yang berlaku hari ini, di mana saya perlu perbaiki.”

Maria tidak beraksi sejak Wimbledon dan kini terlepas kedua-dua kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka AS yang akan bermula tidak sampai dua minggu lagi.

Pemain nombor dua WTA itu mengalami kecederaan kaki yang turut menghalangnya daripada beraksi di Toronto minggu lalu.

“Ia satu keputusan sukar tapi saya fikir tepat dalam usaha memberi saya masa mencukupi untuk sihat dan cergas sepenuhnya bagi Terbuka AS, yang mana saya percaya amat realistik,” ujar Maria. “Tapi saya tidak tahu jika ia realistik sekiranya saya bertanding esok.”

Pemain Russia itu turut disertai Venus yang mengadu mengalami viral kesejukan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");