Sukan Hari Ini

THT terus tekan KLHC

JUARA berganda musim lalu, Kelab Hoki Terengganu (THT) terus memberi tekanan kepada seteru utama mereka, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam misi meraih gelaran Liga Hoki Malaysia (MHL-TNB) buat kali kedua berturut-turut.

Dalam aksi terbaru Ahad lalu, THT membenam cabaran Sapura 5-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini..

Kejayaan meraih tiga mata itu adalah kemenangan keenam berturut-turut pasukan bimbingan Sarjit Singh selepas dimalukan KLHC 2-6 dalam aksi pembukaan liga baru-baru ini.

Berbaki tiga lagi perlawanan, menentang TNB Jumaat ini diikuti Maybank (Ahad) dan diakhiri KLHC, THT bertekad mahu meraih sembilan mata maksimum.

Tegas kapten THT, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, mereka tidak rela untuk kalah mahupun seri.

Jelas Mohd Shahrun, mereka tidak boleh melepaskan sebarang mata andai mahu memintas pendahulu liga pada ketika ini, KLHC.

“Kami tidak ada pilihan lain. Kami perlu menang dalam berdepan baki tiga perlawanan.

“Kami akan terus berjuang sehingga perlawanan terakhir menantang KLHC. Kami mahu mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Musim lalu, THT mencipta sejarah tersendiri selepas dengan buat kali pertama muncul juara liga dan Piala TNB.

Dalam perkembangan sama, KLCH terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu selepas merekodkan kemenangan 2-1 menentang TNB.

UniKL terus kempunan

Sementara itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terus kempunan untuk meraih mata dalam saingan liga pada musim ini.

Sebaliknya, Maybank berjaya meraih tiga mata pertama selepas menumpaskan UniKL 3-2, kelmarin.

Sebelum itu, dalam aksi menentang THT, UniKL juga terpaksa akur kehebatan wakil dari Terengganu itu apabila tumpas 0-3.

Bagi pengendalinya, Arul Selvaraj, dia mengharapkan pemain mudanya mampu untuk belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan.

“Saya tidak melihat terdapat masalah dari segi permainan berpasukan yang ditampilkan.

“Cuma saya amat mengharapkan supaya pemain muda UniKL ini dapat belajar dari setiap kesilapan yang dilakukan kemudian jadikan setiap kesilapan serta kekalahan ini sebagai proses pembelajaran,” katanya.

UniKL selepas ini akan berdepan tugas berat apabila menentang THT, Jumaat ini sebelum berdepan TNB pada Ahad diikuti Sapura pada 4 September.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");