Jenayah

Tiga anggota polis cedera kejar pengedar dadah

KEMAMAN – Walaupun berdepan dengan pengedar dadah licik yang menghimpit kereta peronda polis ketika dikejar hingga tiga anggota tercedera akibat terbabas namun dengan kecekapan yang dimiliki, Polis Kemaman berjaya memberkas suspek bersama sejumlah dadah dan sepucuk pistol tiruan.

Adegan kejar mengejar tak ubah seperti babak dalam filem aksi itu berlaku kira-kira jam 1.20 pagi tadi di Kerteh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, ketika kejadian empat anggota cawangan pencegahan jenayah dari Balai Polis Kerteh sedang melakukan rondaan dengan menaiki kenderaan polis jenis Proton Iswara.

Kesemua anggota itu kemudian terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Darat Kolam dan sebaik dihampiri, kereta yang dinaiki dua suspek itu terus beredar dan melarikan diri sebelum tercetus insiden kejar mengejar.

“Anggota polis kejar menggunakan kereta peronda polis namun ketika dikejar itu suspek bertindak menghimpit kereta polis menyebabkan kereta dinaiki anggota terbabas melanggar tiang elektrik manakala kereta suspek terbabas melanggar pagar rumah orang awam.

“Sebaik merempuh pagar, polis berjaya menahan suspek yang berumur 45 tahun dari Proton Wira tersebut namun seorang lagi suspek berjaya melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek yang berasal dari Santung, Dungun polis merampas sepucuk pistol tiruan, wang tunai sebanyak RM503 dan sekeping kad pengenalan milik orang lain.

Turut dirampas ialah bahan disyaki dadah iaitu dua botol serbuk/ketulan putih, sebotol bahan berwarna merah dan satu peket plastik mengandungi 110 biji pil warna merah.

Akibat kemalangan itu, tiga anggotanya mengalami kecederaan ringan iaitu cedera di bahagian jari kaki kanan dan sakit badan manakala suspek pula mengalami luka bahagian kepala serta badan dan kesemua dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.

Menurutnya, ekoran kejadian itu kereta polis remuk di bahagian hadapan dan kemek bahagian kanan manakala kereta suspek remuk bahagian hadapan.

Normansah memberitahu, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah serta dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Tumpat, Kelantan.

Katanya, gerakan memburu seorang lagi rakan suspek kini giat dilakukan dan kes disiasat di bawah lima seksyen termasuk Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");