Sukan Hari Ini

TM taja Piala Malaysia 3 tahun

Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan menjadi penaja utama Piala Malaysia untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Saingan kejohanan edisi ke-89 bermula bulan depan akan dikenali dengan nama TM Piala Malaysia yang bakal membabitkan 16 pasukan bertanding.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, TM sememangnya sudah lama menjadi rakan setia kepada bola sepak.

“Mereka banyak melakukan promosi bola sepak dan kami pula bertanggungjawab melaksanakan komitmen untuk membangunkan sukan nombor satu negara itu.

“Saya berharap kerjasama ini akan membantu kami mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

TM turut memuktamadkan perjanjian dengan FMLLP dengan menjadikan syarikat telekomunikasi berkenaan penaja bersama untuk Liga Super bagi 2016 dan 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, pihaknya berbangga menjadi penaja utama untuk saingan Piala Malaysia tahun ini.

“Ia menggambarkan sokongan kami dalam membangunkan bola sepak tempatan. Malah, membuktikan salah satu kejohanan bola sepak tertua di Asia ini mampu menarik ribuan penonton.

“Kerjasama ini membolehkan kami membawa peminat bola sepak tempatan dengan lebih dekat menerusi pelbagai aktiviti terutama jelajah di seluruh negara.

“Kami berharap pendekatan ini mampu melonjakkan minat rakyat Malaysia terhadap bola sepak tempatan dan mengeratkan hubungan untuk menyokong pasukan pilihan mereka,” katanya.

Kerjasama itu sebahagian daripada pendekatan holistik TM menerusi bola sepak terutamanya dalam pemasaran sukan, penajaan dan pembangunan bermula peringkat akar umbi menerusi Program Pembangunan Bola sepak Negara (PPBN) dan ‘Mencari Ramli’ (rancangan realiti pembangunan peringkat kanak-kanak yang unik dan popular ditayangkan di TV3).

Di peringkat kebangsaan pula, pembabitan mereka adalah menerusi FAM selain bersama Manchester United di pentas antarabangsa serta mewujudkan ‘Team Malaysia’.

Kempen strategik TM secara keseluruhan adalah untuk meningkatkan rasa bangga dan jati diri menerusi sukan selain mendorong atlet untuk mengejar kecemerlangan serta meletakkan Malaysia di peta sukan global.

-http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");