Isu Panas

Turun kadar GST untuk bendung inflasi

SHAH ALAM – PKR menggesa kerajaan menerima cadangan mereka supaya kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan bagi membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan.

Biro Pelaburan dan Perdagangannya melalui wakilnya Wong Chen dan Dr Fahmi Ngah dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa penurunan kadar itu merupakan satu penyelesaian sementara yang praktikal ketika ini.

“…kami ingin mencadangkan langkah yang lebih mudah, iaitu menurunkan kadar GST kepada 4 peratus (%) atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan.

“PKR komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal,” katanya.

Sehubungan itu, mereka menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima cadangan itu.

“Kami ingin mencadangkan kepada jawatankuasa khas ekonomi agar tidak menaikkan kadar faedah sewenang-wenangnya sebagai langkah mudah untuk menangani inflasi yang bakal berlaku kerana ia akan mengekang pengembangan aktiviti ekonomi domestik.

“PKR menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerima cadangan ini dan memberikan tumpuan kepada ekonomi negara dan penderitaan rakyat dan bukannya memikirkan soal hayat politik beliau sahaja,” katanya.

Dalam kenyataan sama, PKR menegaskan bahawa krisis mata wang yang melanda negara ini memberikan kesan yang lebih mendalam kepada ekonomi negara.

“Beberapa pimpinan kerajaan telah mengatakan bahawa nilai ringgit yang rendah ini adalah baik untuk eksport dan industri pelancongan negara. Bagaimanapun, analisa kami berdasarkan angka-angka kerajaan sendiri telah menunjukkan kesimpulan yang amat berbeza.

“Nilaian eksport negara tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang bermakna walaupun dengan penyusutan nilai ringgit. Jumlah pelancong asing juga tidak memuaskan,” katanya.

Menyentuh soal jangkaan penyusutan harga minyak mentah dunia dalam masa terdekat akibat pertambahan pengeluaran daripada OPEC dan Amerika Syarikat (Shale), penguncupan ekonomi China dan penghapusan sekatan ekonomi kepada Iran, PKR berpendapat, pendapatan negara bakal terkesan.

“Jadi kita akan menghadapi satu keadaan di mana hasil petroleum akan berkurangan dan nilai ringgit yang rendah pula tidak dapat menjamin pengembangan yang lebih berkesan dalam industri pelancongan dan pertambahan eksport.

“Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal. Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");