Membawang Hari Ini

Uda dan Dara: Papar realiti dua darjat

BAGI peminat seni teater, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sebuah pementasan teater muzikal hebat anjuran penuntut semester akhir UiTM Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Lakon Fakulti Filem Teater dan Animasi berjudul Uda dan Dara bermula 9 hingga 12 September nanti.

Merupakan karya agung kepada seniman tersohor Usman Awang, teater muzikal berkenaan dipentaskan buat julung kalinya di Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam, Selangor.

Mendapat sentuhan pengarah yang juga pensyarah seni teater UiTM, Mazlan Tahir, teater muzikal ini mengambil latar belakang konflik percintaan dua darjat.

Menurut Mazlan, ia sebuah karya yang amat menarik untuk dipentaskan dan ditonton dalam zaman serba moden ini.

“Ia mengisahkan kehidupan lelaki desa bernama Uda yang amat mencintai Dara, seorang gadis yang berasal dari keluarga berada sehingga Uda sanggup ke kota untuk memikat ibu Dara yang materialistik.

“Sepanjang peninggalan Uda, pelbagai kejadian berlaku di kampungnya sehinggakan Dara turut menjadi mangsa ibunya untuk dikahwinkan dengan Alang Bakhil.

“Di sinilah bermula konflik dan cabaran kepada Uda kerana ingin memastikan dan terus berusaha dia dapat bersama Dara,” katanya dek kerana itu, Uda akhirnya meninggal dunia.

Mengulas lanjut keistimewaan dan keunikan karya itu, ujarnya, ia mempunyai pengisian yang luar biasa berbanding karya sedia ada.

“Misalnya, kita akan cuba menonjolkan sisi natural Uda dan Dara daripada aspek keintiman sesebuah percintaan antara lelaki dan perempuan menerusi sentuhan fizikal dan keintiman.

“Tetapi, kami cuba koreografi sudut yang berbeza supaya sentuhan fizikal dan keintiman itu tidak diperlihatkan secara jelas dan menjadi satu keutamaan di dalam sebuah percintaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, seiring dengan perubahan era, Mazlan juga mencipta dan mengubah karya tersebut di tahap yang lebih komersial.

“Aspek komersial ini merujuk kepada aspek pendidikan untuk membawa nama UiTM lebih megah di mata masyarakat.

“Menerusi pandangan itu, ia memastikan teater muzikal ini sesuai ditonton semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak sehingga yang lebih dewasa,” katanya.

Tonjol kreativiti penuntut

Tambah Mazlan lagi, dia berbangga dengan semua penuntut yang terlibat kerana bersungguh-sungguh untuk merealisasikan teater muzikal itu.

“Segala set dan prop teater ini merupakan hasil kreativiti pelajar sendiri atas nasihat penasihat.

“Malah meskipun teater yang dilakonkan oleh pelajar seni lakon semester akhir ini akan dinilai sepenuhnya oleh pensyarah mereka, tetapi mereka tidak kelihatan bimbang sebaliknya nekad melakukan yang terbaik,” katanya pelajar semester akhir pengurusan industri kreatif turut dinilai daripada mutu dan kualiti pengurusan teater ini.

Menurut Mazlan lagi, antara kelainan teater ini adalah dengan menampilkan pelakon yang berbeza pada setiap hari pementasan.

“Perkara ini menunjukkan penuntut Fakulti Filem Teater dan Animasi yang rata-ratanya berkebolehan untuk berlakon.

“Kami yakin meskipun menggunakan tenaga kerja besar, iaitu sehingga 300 orang, tetapi hasilnya nanti pasti berbaloi,” katanya pementasan berkenaan diadakan secara besar-besaran daripada semua konsep kerana mahu menampilkan perbezaan.

Turut membantu menjayakan teater muzikal ini, ketua pusat pengajian pengurusan industri seni, Dr Maszalida Hamzah.

Teater ini akan bermula pada jam 8.30 malam pada setiap hari dan pada 12 September akan diadakan dua kali pementasan iaitu pada jam 3.00 petang dan 8.30 malam.

Teater ini terbuka kepada pencinta seni, penggiat teater dan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat.

Informasi lanjut boleh didapati dengan mengikuti laman sosial Instagram, Facebook dan twitter @MyCoatAndTie #MUDaRA2015.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");