Membawang Hari Ini

Anis Ayuni: Fazura pilihan tepat!

KEMENANGAN pelakon jelita, Nur Fazura sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 yang lalu, menerusi filem Manisnya Cinta di Cappadocia turut memberi kejutan buat penulis Anis Ayuni.

Berbangga dengan kemenangan tersebut, Anis Ayuni semakin akur dengan kehebatan aktres itu dalam menjiwai watak Ifti Liyana menerusi novel ciptaannya, Manisnya Cinta, yang dipilih untuk diadaptasi ke layar perak oleh Global Station dan Astro Shaw itu.

Menurut Anis Ayuni, sejak awal lagi dia sudah membayangkan watak itu untuk Fazura dan dia sudah menjangkakan kekuatan watak yang dibawakan aktres itu akan meraih kemenangan.

“Bagi saya, Fazura berjaya menjiwai watak Ifti Liyana seperti yang saya gambarkan dalam novel Manisnya Cinta.

“Ketika menggarap manuskrip novel ini, pernah saya terfikir andai suatu hari nanti novel Manisnya Cinta diadaptasi ke filem atau drama, saya memilih Fazura untuk memegang watak Ifti Liyana.

“Dalam filem Manisnya Cinta di Cappadocia, dia berjaya menghidupkan watak Ifti Liyana dengan sangat baik. Saya suka pada penghayatan dan lakonannya yang bersahaja,” katanya kepada Zass.

Dari segi gambaran asal perwatakan Ifti Liyana, Anis Ayuni berkata, Fazura sememangnya menepati gambaran watak itu kerana dia memiliki wajah yang cantik bahkan senyuman yang menawan.

“Dari segi perwatakan, Ifti Liyana seorang wanita yang berpendirian tegas, cekal, tabah serta tidak mudah terbawa-bawa dengan rasa kecewa apabila putus cinta. Dalam memilih pasangan hidup pula, bukan harta dan kekayaan menjadi keutamaannya.

“Setelah diadaptasi ke layar lebar, Fazura menepati wajah Ifti Liyana yang saya ciptakan dan saya benar-benar melihat Ifti Liyana dalam filem itu,” katanya.

Berkongsi pula kekuatan watak Ifti Liyana, Anis Ayuni yang juga merupakan seorang pendidik berkata, Ifti mempunyai ketabahan hati seorang wanita yang sarat dengan nilai kasih sayang.

“Atas rasa tanggungjawab, dengan penuh kasih sayang, Ifti Liyana menjaga anak-anak saudaranya yang sudah kematian ibu.

“Penjiwaan Fazura dalam membawakan watak itu juga amat saya sukai,” katanya.

Novel edisi filem

Anis Ayuni juga memberitahu, selepas diadaptasi ke layar lebar, novel Manisnya Cinta mendapat sambutan terutama daripada penonton yang belum membaca novel tersebut.

“Sempena tayangan filem Manisnya Cinta di Cappadocia, penerbit Alaf 21 telah mengambil inisiatif mencetak novel Manisnya Cinta edisi filem dengan bahagian muka depan gambar pelakon-pelakon seperti Fazura, Shaheizy Sam, Eja, Lisa Surihani dan Faizal Hussin.

“Selain itu, ada tambahan beberapa muka surat berwarna gambar-gambar sedutan daripada filem ini,” katanya.

Berkongsi pula perkembangannya, Anis Ayuni berkata, dia sedang menulis manuskrip untuk novel ke-13.

“Tetapi proses penulisannya agak perlahan kerana banyak komitmen lain yang perlu didahulukan.

“Pada masa sama turut menghasilkan novel Antologi Cinta – Sayang dan novel ini hasil gabungan daripada empat penulis – Anis Ayuni, Aisya Sofea, Aleya Aneesa dan Rozita Abdul Wahab,” katanya.

Manisnya Cinta, mengisahkan Ifti Liyana, yang tidak pernah mendambakan lelaki yang bernama Fredo. Bertahun bersama, tiada sedikit pun perasaan untuk jejaka itu. Akhirnya, Fredo menikahi wanita lain dan tinggallah Ifti Liyana menyusuri hidupnya sendiri.

Pertemuan pertama dengan Nazmi telah mencambahkan perasaan yang dia sendiri tidak fahami. Rasa rindu mulai datang menghakis keegoan. Adakah Nazmi juga berperasaan yang sama dengannya?

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");