Berita Hari Ini

Rahsia k’jaan bocor: Arahan Keselamatan dipinda

KUALA LUMPUR – Arahan Keselamatan bagi jabatan kerajaan akan dipinda dalam usaha menangani masalah ketirisan maklumat rahsia kerajaan terutama dalam laman sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Nik Azlan Abas berkata, pindaan kali ketiga itu berikutan keperluan semasa khususnya berkaitan keselamatan siber bagi mendidik penjawat awam supaya menjaga data-data dan maklumat sulit kerajaan daripada didedahkan kepada umum.

“Sejak kebelakangan ini terdapat kes-kes melibatkan ketirisan maklumat di jabatan dan agensi kerajaan, jadi inilah masanya untuk kita bertindak melihat semula Arahan Keselamatan untuk diselaraskan dengan kehendak semasa dan lihat mana perlu dibuat pindaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Institut Integriti Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan meja bulat bertajuk ‘Strategi dan pendekatan bagi mempertingkatkan integriti kerahsiaan dan keselamatan dokumen milik kerajaan daripada sebarang kebocoran’.

Arahan Keselamatan yang menetapkan darjah-darjah keselamatan untuk dilaksanakan oleh semua jabatan kerajaan meliputi keselamatan perlindungan fizikal ke atas bangunan, keselamatan perlindungan dokumen dan peribadi dipinda kali terakhir pada 1985.

Nik Azlan berkata, lebih 180 arahan akan dimuatkan dalam Arahan Keselamatan berkenaan berbanding 95 arahan pada masa ini dengan menekankan kepada bab lima dan enam yang meliputi keselamatan siber.

Beliau berkata Arahan Keselamatan itu juga dipinda ke bahasa yang lebih mudah untuk difahami penjawat awam.

Katanya, cadangan pindaan itu telah dikemukakan kepada jabatan bertanggungjawab termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Peguam Negara dan bakal dibawa kepada Kabinet pada Oktober atau November ini untuk kelulusan.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak empat kes kebocoran maklumat direkodkan pada tahun ini setakat ini melibatkan satu kes di laman sosial dan tiga kes di laman sesawang dan blog.

Katanya pada 2014, terdapat 15 kes kebocoran maklumat iaitu lapan kes berlaku di laman sosial, tiga kes di laman sesawang dan blog serta empat kes melalui kenyataan media.

Katanya punca-punca kebocoran maklumat adalah melalui penjawat awam sendiri, badan bukan kerajaan, penyiasat massa, pengintip dan badan politik yang boleh menjejaskan sistem pertahanan, keselamatan, perdagangan, hubungan antarabangsa serta memberi impak negatif terhadap pengurusan kerajaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");