Sukan Hari Ini

Asia cabar Eropah

Shah Alam: Jeev Milkha Singh dan Darren Clarke masing-masing disahkan kapten Pasukan Asia dan Eropah untuk kejohanan golf Piala EurAsia yang dibawakan DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) di Glenmarie Golf and Contry Club pada 15 hingga 17 Januari 2016.

Jelajah Asia dan Jelajah Eropah, bersama-sama koordinator tempatan Profesional Golf Malaysia (PGM), mengumumkan edisi kedua Piala EurAsia kali ini akan menampilkan beberapa perubahan kepada pasukan dan kriteria kelayakan untuk menyuntik rasa teruja dalam kalangan peminat golf dan penonton televisyen global.

Kehadiran Milkha, dua kali pemain nombor satu Jelajah Asia dari India dan Clarke yang juga kapten Piala Ryder Eropah 2016 dan juara kejohanan utama mengemudi pasukan masing-masing, bermakna Piala EurAsia akan menampilkan dua pemain terkemuka golf dari Asia dan Eropah.

Pengerusi PGM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata: “Selama bertahun-tahun, Malaysia membina reputasi sebagai tuan rumah untuk acara sukan besar dan Piala EurAsia akan menambah kepada legasi kita.

“Sebagai koordinator tempatan yang dilantik Kerajaan Malaysia, PGM tidak sabar-sabar bekerjasama dengan DRB-HICOM, Jelajah Asia dan Jelajah Eropah untuk memastikan satu lagi kejohanan yang berjaya.”

Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-HICOM Datuk Mohamed Razeek Md Hussain turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan acara perdana golf berpasukan.

“Saya yakin Pasukan Asia dan Eropah akan bertarung hebat dalam usaha mereka untuk menyerlah nanti,” katanya.

Piala EurAsia 2016 akan mengikut format Piala Ryder dengan kapten pasukan memegang peranan sebagai ketua pasukan tidak bermain dengan kedua-dua pasukan akan diwakili 12 pemain, meningkat dua berbanding edisi pertama.

Enam permainan akan dilangsungkan dalam setiap sesi Fourball dan Foursomes pada dua hari pertama, meningkat satu bagi setiap sesi. Sejumlah 12 perlawanan perseorangan, tambahan dua permainan dari 2014, akan dilangsungkan pada hari terakhir.

Pasukan Asia akan dipilih daripada empat pemain Order of Merit Jelajah Asia 2015 (sehingga 14 Disember), empat pemain Asia dari Ranking Rasmi Golf Dunia (sehingga 14 Disember) dan empat pilihan kapten.

Pasukan Eropah pula akan dipilih daripada 10 pemain teratas final Race To Dubai 2015 selain dua pilihan kapten.

Pasukan yang menang akan menerima AS$3.6 juta (RM15.84 juta) manakala naib juara AS$1.2 juta (RM5.28 juta).

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");