Jenayah

Guru Tabika Kemas cedera diragut

PASIR MAS: Akibat motosikal ditungganginya terbabas selepas ditendang dalam kejadian ragut di Kampung Padang Tok La, di sini, kelmarin, seorang guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengalami kecederaan agak serius.

Mangsa, Norhayati Deris, 42, menceritakan, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang dan ketika itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bunut Susu selepas menghadiri mesyuarat di pejabat Kemas Pasir Mas.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dihampiri dua lelaki tidak dikenali menunggang sebuah motosikal dan salah seorang daripadanya menendang motosikal ditungganginya dari arah belakang.

“Sebelum kejadian itu berlaku, saya ada ternampak kelibat dua lelaki menunggang motosikal di laluan berkenaan. Tak sangka pula mereka mahu ragut saya.

“Selepas ditendang, motosikal saya terbabas ke dalam semak dan sebaik saja saya jatuh, peragut ambil beg tangan saya dalam raga motosikal,” katanya.

Norhayati berkata, kejadian berlaku dengan pantas menyebabkan dia tidak sempat mengingati secara jelas raut wajah peragut terbabit dan kejadian itu.

“Inilah kali pertama saya diragut sepanjang 22 tahun bertugas sebagai guru Tabika Kemas dan selain dokumen penting, saya turut kehilangan wang tunai RM650.

“Wang tersebut adalah kutipan bayaran lawatan murid tabika untuk ke Terengganu,” katanya yang merupakan tenaga pengajar di Tabika Kemas Tanjong Chenak, di sini.

Berikutan kejadian itu, Norhayati mengalami lebam di muka, cedera di badan, tangan dan kaki kanan serta menerima sembilan jahitan di mulut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");