Membawang Hari Ini

Hafidz masih mencari rentak

Jika sebut nama Hafidz Roshdi, 21, ramai belum mengenalinya. Justeru, menjadi misi empunya diri untuk memperkenalkan namanya dan mencanai bakat hingga meraih kepercayaan pelbagai pihak.

Tahun pertama bergelar pelakon banyak perkara dipelajari anak muda ini. Bagi Hafidz tidak ada yang mustahil dicapai sekiranya bekerja keras.

“Memandangkan saya masih baru, kenalah cari rentak sesuai. Saya tak mahu tamak dengan ambil semua tawaran sebaliknya lebih selesa fokus satu persatu.

“Saya dalam proses membina nama jadi kena jaga kualiti kerja,” katanya.

Tidak bersandarkan pada rupa semata-mata, Hafidz mahu dikenali kerana kebolehan menjiwai pelbagai watak.

“Setiap pelakon memiliki kelebihan masing-masing. Macam saya, lebih fokus kepada watak yang diberikan. Sebolehnya saya mahu tampil dengan imej berbeza untuk setiap karakter.

“Menerusi drama Kau Aku Kita terbitan JS Pictures misalnya, saya melakonkan watak antagonis dan perlu nampak sasa. Jadi saya pergi gimnasium dan buat badan,” katanya.

Meskipun masih hijau dan belum mengerti sepenuhnya selok-belok industri hiburan tanah air, Hafidz mengakui selesa mengurus sendiri kerjayanya.

“Saya jenis tak suka susahkan orang. Tambahan pula, saya lambat serasi lebih molek rasanya uruskan sendiri jadual kerja. Segala masalah tanggung sendiri, tak ada kaitan dengan orang lain,” katanya.

Berbanding rakan seangkatan seperti Fattah Amin, Syarul Ridzwan, Nazrief Nazri dan Hafreez Adam, Hafidz mengakui dia sedikit ketinggalan.

Selepas pertandingan pencarian bakat yang disertai bersama empat rakannya itu berakhir, hatinya masih berbelah bagi untuk menceburi bidang lakonan. Apatah lagi pelajaran menjadi keutamaannya ketika itu.

“Tamat program terbabit saya sambung pengajian di Kolej MSU, Shah Alam selama dua tahun.

“Selepas tu baru saya buat keputusan mahu berlakon. Kebetulan ada produksi panggil menghadiri uji bakat membintangi drama Baby Ana Milik Siapa untuk siaran TV3. Tak sangka berjaya dan bermulalah karier saya sebagai pelakon,” katanya yang kini menyambung pengajian di peringkat sarjana muda secara sambilan di Open Universiti Malaysia.

Sambung Hafidz, Baby Ana Milik Siapa membawa tuah apabila dia mendapat kepercayaan menjayakan watak utama dan diikuti beberapa drama lagi.

Paling penting kata Hafidz, sepanjang bergelar anak seni dia semakin yakin dengan diri.

“Sebelum ini saya pemalu orangnya. Nak jumpa orang pun takut apatah lagi mahu memulakan bicara. Apabila setiap hari di lokasi dan mula bergaul dengan orang lebih berusia, saya jadi lebih terbuka.

“Mungkin ketika menuntut di kolej rakan saya semuanya sebaya. Jadi nak berdepan dengan dunia luar mengambil masa,” katanya ramah.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");