shadow

FILEM yang terperap selama dua tahun hasil idea dan skrip dari pengarah, Wan Hasliza Wan Zainudin akhirnya diselak kembali untuk difilemkan oleh pihak Grand Brilliance pada 2012.

Filem yang pada awalnya diberi tajuk Pengapit ketika dalam kertas kerja kepada pihak Grand Brilliance pada 2010 disemak semula oleh pihak penerbit dan pengarah setelah disesuaikan dengan jalan cerita dan situasi semasa.

Oleh itu, di akhir proses, kedua pihak bersetuju untuk memberikan judul filem kepada Love, Supermoon yang punyai persamaan dengan penceritaan mengaitkan bulan Supermoon.

Wan Hasliza berkata, filem yang akan ditayangkan pada 22 Oktober ini adalah percubaan pertamanya apabila kebanyakan filem dan dramanya lebih kepada genre komedi, bukannya romantik komedi.

“Oleh itu, untuk mewujudkan romantik dan komedi itu sesuatu yang baru bagi saya. Namun, saya banyak dibantu oleh pihak penerbit ketika proses menyiapkan skrip.

“Pelakon juga ada yang punyai pengalaman untuk mewujudkan komedi itu dalam babak penggambaran yang memudahkan kerja saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis tayangan filem tersebut, baru-baru ini.

Mengulas lanjut kata Wan Hasliza, filem tersebut sebenarnya hanya mengenai jodoh, namun, dia mahu mempersembahkannya dengan cara yang berbeza.

“Kita tidak mahu, cerita ini sama dengan filem romantik lain yang tahu akan jalan ceritanya. Kami kembangkan dan paparkan setiap jodoh itu ada perbezaannya.

“Saya juga selitkan dengan cerita gosip mengenai pasangan masing-masing yang tidak diketahui melalui penglihatan mata sendiri tetapi melalui penyampaian rakan-rakan.

“Itu menyebabkan filem ini lebih menarik dan unik untuk ditonton selain komedi yang pasti melucukan,” katanya.

Filem romantik yang sangat kelakar ini mengisahkan tentang persahabatan lima orang sahabat yang bermula sejak bangku sekolah dan bagaimana persahabatan mereka berkembang sehingga ke zaman universiti, alam pekerjaan dan bagaimana mereka mula bertemu pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga.

Razak (Farid Kamil) dan Triz (Nadiya Nisaa) sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Setelah menamatkan zaman universiti, Triz bercita-cita untuk menjadi seorang penulis, tetapi malangnya, hasil tulisan Triz sering ditolak oleh syarikat-syarikat penerbitan.

Berlainan pula dengan Razak, dia berjaya menjadi seorang doktor dan amat dikenali kerana sifat ‘playboy’ dan sering bertukar pasangan. Selepas bertahun-tahun mengharungi pelbagai masalah cinta dan liku-liku kehidupan, Razak dan Triz dipertemukan oleh takdir dalam keadaan di mana kedua-duanya mahu memulakan kehidupan yang baru.

Filem romantik yang sarat dengan aksi komedi itu juga membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Nadiya Nisaa, Farid Kamil, Rita Rudaini, Zain Saidin, Azhar Sulaiman, Anne Ngasri, Zain Hamid, Razak Ahmad, dan ramai lagi.

Cabaran penggambaran

Mengambil masa sebulan untuk difilemkan, Love, Supermoon melakarkan bandaraya Kuala Lumpur sebagai lokasi utamanya.

Antara pengalaman istimewa yang dilalui oleh barisan pelakon dan krew filem ini adalah bekerja sambil menjalani ibadah puasa kerana tempoh penggambaran berlangsung ketika bulan Ramadan.

Wan Hasliza berkata, cabaran pertama terpaksa ditempuhi mereka adalah penggambaran di bulan puasa dua tahun lalu yang menyebabkan dirinya sedikit terganggu untuk mengarah.

“Cuaca panas juga menyebabkan ada sesetengah pelakon sedikit letih dan ada babak yang terpaksa diambil sekejap sahaja akibat pelakon kekurangan air untuk beraksi lebih.

“Saya sendiri juga sedikit ‘moody’ ketika penggambaran selama sebulan itu kerana berpuasa, tetapi ia tidak menghalang untuk menyelesaikan juga filem penggambaran itu dan tetap beri kerjasama dengan pelakon,” katanya.

Selain itu, kata Wan Hasliza, cabaran lain adalah ketika proses menyiapkan skrip filem kerana banyak dialog.

“Penerbit banyak mengedit terlebih dahulu skrip yang telah dihasilkan. Kata penerbit skrip saya terlalu banyak dialog.

“Untuk kembangkan skrip juga menghadapi cabaran sendiri dan akhirnya apabila diteliti semula tajuk Pengapit pada awalnya mahu digunakan untuk judul filem akhirnya diubah,” katanya.

Tempoh tayangan yang memakan masa dua tahun selepas penggambaran selesai dijalankan juga menjadi pertanyaan.

Wan Hasliza memaklumkan, kelewatan disebabkan oleh proses offline (susun babak) dan online (mencantikkan babak).

“Proses itu mengambil sedikit masa yang panjang kerana mahu membuatkan filem itu menarik dan punyai kelainan. Akhirnya Alhamdulillah akan ditayangkan tidak lama lagi,” katanya.

Pelakon pilihan tepat

Wan Hasliza turut memuji lakonan Farid Kamil dan Nadiya Nisaa dalam filem tersebut.

“Nama mereka juga ketika dua tahun lalu tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air dan saya lihat mereka sebagai gabungan yang amat serasi dan berjaya menghidupkan jalan cerita filem ini.

“Ketika kami tawarkan watak pada Farid, Alhamdulillah dia bersetuju dan ketika itu namanya memang sedang naik dalam industri lakonan.

“Bagi Nadiya Nisaa pula, walaupun ketika tawaran itu dia masih baru, tetapi jelas komitmen dan bakatnya amat besar.

“Sementelah itu, kini dia telah beberapa kali menerima beberapa anugerah lakonan dan kami tidak salah memilihnya,” katanya.

Filem Love, Supermoon juga membawa kelainan apabila menggabungkan pelakon-pelakon yang lebih ‘senior’ seperti Rita Rudaini, Zain Hamid dan Azhar Sulaiman yang selalu kita lihat memegang watak-watak dalam drama tempatan.

“Mereka memang sangat berbakat dan tidak ada masalah bekerjasama dengan mereka. Adegan komedi juga ada kalanya secara spontan dilakukan tanpa 100 peratus mengikut skrip.

“Itu yang kita cuba kekalkan momentum komedi agar filem ini mewujudkan romantik komedi seperti yang penonton harapkan,” katanya yang punyai keyakinan filem itu akan mendapat sambutan daripada penonton apabila ditayangkan nanti.

Filem wajib tonton

Sementara itu, Pengurus Besar, Brand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alaudin yang juga penerbit filem ini menyatakan keyakinan bahawa filem itu akan meneruskan tradisi Grand Brilliance yang pernah menerbitkan filem-filem komedi romantik berkualiti.

“Seperti Istanbul Aku Datang, Sejoli dan Girlfriend Kontrak yang bakal ditayangkan pada 24 September, filem ini tidak kurang hebatnya.

“Menelan kos perbelanjaan RM1 juta ini, Love Supermoon akan menjadi filem yang wajib ditonton, kerana hasil penulisan dan arahan Wan Hasliza yang ‘fresh’ dan gandingan pelakon-pelakon yang mantap ini bakal menghiburkan peminat filem tanah air,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *