Berita Hari Ini

Syarikat boleh mohon kembalikan wang zakat

KUALA LUMPUR – Bagi menggalakkan umat Islam menunaikan Rukun Islam keempat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah membenarkan syarikat yang melaksanakan bayaran zakat perniagaan kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) membuat permohonan pengembalian semula wang zakat sudah dibayar untuk diagihkan sendiri sebagai wakil MAIWP.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pengembalian semula wang zakat ini dibenarkan sehingga tiga per lapan atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat pada tahun semasa.

“Pengembalian semula wang zakat tersebut hendaklah dibuat kepada tiga golongan iaitu fakir, miskin dan fisabilillah dengan bantuan khidmat nasihat agihan akan diuruskan PPZ-MAIWP yang menjadi perintis kepada amalan ini untuk mengagihkan zakat di luar Wilayah Persekutuan.

“Orang ramai mungkin tidak terfikir sekiranya zakat yang dikeluarkan itu membantu pelajar sedang menuntut ilmu, di mana suatu hari akan berjaya menjadi tokoh agama yang mempunyai ribuan pelajar. Sudah tentu wang zakat berkenaan menjadi amalan berpanjangan untuk saham akhiratnya,” katanya dalam sesi wawancara Zakat Perniagaan: Konsep dan Praktikal, semalam.

Zakat perniagaan bersihkan dosa

Abdul Hakim berkata, pengeluaran zakat perniagaan hanya 2.5 peratus atau satu per 40 sebahagian harta tertentu apabila cukup syarat dan haul untuk diberikan kepada golongan atau lapan asnaf tertentu supaya membersihkan dosa dan menyucikan mereka daripada akhlak yang buruk.

“Syarat wajib zakat perniagaan ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab (paras minima RM11,308), cukup haul iaitu genap setahun tempoh perniagaan dijalankan dan niat berniaga.

“Terdapat beberapa jenis perniagaan yang boleh dikenakan zakat perniagaan sekiranya cukup syaratnya antaranya syarikat berhad, syarikat Sdn Bhd, koperasi, perniagaan, perusahaan, perbankan, online, pasar malam, gerai dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurut beliau, pengiraan zakat berasaskan kepada aset syarikat atau koperasi dan bukan aset kumpulan manakala pemegang saham tidak lagi perlu membayar zakat atas saham dan juga dividen yang diterimanya.

“Sekiranya syarikat atau koperasi tidak membayar zakat, maka pemegang saham Muslim dalam organisasi berkenaan wajib menunaikan zakat atas saham dan dividen mereka.

“Inisiatif mengira dan membayar zakat terletak atas kuasa lembaga pengarah yang telah diamanahkan oleh pemegang saham atau ahli-ahli bagi menjalankan urusan perniagaan. Sekiranya lembaga pengarah tidak mendapat mandat berkenaan maka usul hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham atau ahli-ahli bagi menunaikan zakat,” katanya.

Lantik lebih banyak ejen

Abdul Hakim turut menjelaskan bagi golongan profesional dan berkemahiran yang menawarkan perkhidmatan memiliki syarikat serta memperoleh hasil pendapatan dalam bentuk imbuhan bulanan, gaji, ambilan, perolehan dan dividen kewajipan berzakat terbahagi kepada zakat perniagaan dan zakat harta.

Selain itu, pelbagai usaha dijalankan PPZ-MAIWP bagi meningkatkan kutipan zakat perniagaan antaranya melantik lebih banyak ejen kutipan khususnya firma audit dan perakaunan di Wilayah Persekutuan serta memohon kelulusan kerajaan bagi menaikkan pelepasan cukai daripada 2.5 peratus kepada 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat melalui Forum Zakat Malaysia.

Bagi syarikat-syarikat yang ingin membuat taksiran zakat perniagaan mereka boleh e-mel ke [email protected] atau hubungi talian PPZ 1-300-88-5757.

Maklumat berkenaan zakat juga boleh didapati di laman web www.zakat.com.my serta tutorial zakat perniagaan di youtube.com/ppztv.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");