Membawang Hari Ini

Masih diberi peluang

Akur dan reda. Inilah sahaja yang mampu dilakukan Nico G yang dianggotai Nico, Affa dan Dino apabila segala perancangan membabitkan album terbaru mereka kurang menjadi.

Kumpulan perintis irama hip hop pada 1993 ini membuat kemunculan semula dengan menghasilkan album yang memuatkan himpunan lagu popular mereka serta single terbaru berjudul Belia Perwira pada 2014.

Segala perancangan strategi promosi termasuk pelancaran album juga sudah dibuat pada Februari lalu, namun negara berdepan tragedi pesawat pesawat MH370 dan MH17 yang turut memberi kesan kepada penggiat seni apabila banyak aktiviti hiburan ditunda.

Jelas Affa, ketika itu mereka sepatutnya mempromosikan album terbabit di seluruh tanah air.

“Pada 2010 kami tampil dengan album kompilasi bersama GX4 yang turut menggabungkan kumpulan lain iaitu A To Z, Shades dan KOOL.

“Selepas melihat maklum balas positif peminat, barulah kami berani hasilkan album Nico G pula. Namun, tak sangka pula berlaku tragedi ini yang turut memberi kesan kepada industri seni.

“Bagaimanapun, kami lega album ini dapat dijual menerusi Internet dan alhamdulillah banyak juga yang menyokong. Sekurang-kurangnya ia beri semangat kepada kami untuk terus berjuang dalam bidang ini,” katanya.

Affa turut menzahirkan perasaan gembira apabila kemunculan semula Nico G selepas 23 tahun berehat disambut baik banyak pihak.

“Satu kebanggaan buat kami apabila mendapat sokongan pelbagai pihak.

“Bahkan pada majlis pelancaran album ramai rakan media turun padang. Kami sangat gembira dan terharu melihat maklum balas positif itu,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini, Affa berkata Nico G masih diberi ruang menjayakan pelbagai pesembahan.

“Kami akan terus mempromosikan lagu Belia Perwira kepada peminat.

“Syukur kami banyak pe–nyokong di Facebook. Mereka sedia maklum Nico G kembali memeriahkan dunia seni dan bukannya berhasrat mahu bersaing dengan mana-mana artis. Kami turut gunakan pengalaman yang ada bagi mendekati radio yang kebanyakannya dibarisi orang baru.

“Alhamdulillah kami juga sering diundang dalam program terbitan Astro antaranya menjayakan Anugerah MeleTOP dan Maharaja Lawak Mega. Peluang ini digunakan untuk kami cari peminat generasi baru.

“Kami banyak disokong oleh rakan kongsi iaitu Underboss serta pelbagai pihak yang ingin melihat kami memeriahkan industri seni. Baru-baru ini kami turut diundang menjayakan program Jualan Amal Selebriti anjuran Trans Malaya Borneo di Selayang Mall dan sambutan yang diberikan turut menggalakkan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");