Membawang Hari Ini

Ning luas empayar

Ibarat pepatah, benih yang baik kalau dicampak ke laut akan menjadi pulau begitulah dengan penyanyi Ning Baizura Hamzah, 40.

Hampir 20 tahun membabitkan diri dalam dunia nyanyian, kini ibu kepada Ryan Sky Dalton, 2, itu giat membesarkan empayar perniagaan dibina.

Menerusi syarikat ditubuhkan, Happenings Malaysia Sdn Bhd, Ning meraih pelbagai anugerah antaranya Country Branding Awards daripada The BrandLaureate, Global Branding Awards 2015 dan Global Asia Branding Awards 2015 kerana pembabitannya dalam dunia hiburan, fesyen dan perniagaan.

Sebagai ahli perniagaan, Ning yang mula mencipta nama menerusi album Dekat Padamu akui dalam kepalanya kini pelbagai perancangan mahu dilakukan dan direalisasikan bagi mengembangkan lagi syarikat yang ditubuhkan.

“Bukan tidak yakin dengan bidang nyanyian, tetapi keadaan ekonomi sekarang ini kurang baik. Tawaran menyanyi juga semakin kurang dan perkara itu turut dirasai semua rakan penyanyi yang punya nama.

“Waktu sama sebagai penggiat seni yang sudah memulakan langkah dengan menyertai dunia perniagaan, saya harus mempersiapkan diri untuk melakukan lebih. Saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang saya ada,” katanya ketika ditemui di majlis memperkenalkan seleksi aiskrim terbaru Magnum, Magnum White Almond, baru-baru ini.

Selain menganjurkan konsert untuk Ning dan beberapa siri persembahan membabitkan artis tempatan dan luar negara, syarikat milik Ning turut menganjurkan beberapa acara besar. Antaranya Kuala Lumpur Kids Festival dan Kuala Lumpur Lake Gardens Festival (KLLGF) yang berlangsung baru-baru ini.

“Antara yang ada dalam perancangan saya sekarang adalah menyertai perniagaan dalam dunia fesyen. Bagaimanapun, perkara itu masih lagi saya fikirkan terutama dari sudut rekaan dan mencari identiti.

“Saya tidak mahu terburu-buru. Biarlah jenama yang saya hasilkan nanti benar-benar diterima bukan kerana nama saya sebagai penyanyi sebaliknya baju yang dihasilkan dan dipasarkan itu diterima kerana kualiti dan kesesuaiannya,” katanya.

Kata Ning, kini dia dan rakan kongsi melaksanakan kertas kerja mengenainya dan mereka mahu apa yang dilakukan itu benar-benar memberikan pulangan kepada syarikat mahupun pengguna.

“Soal modal untuk melaksanakan projek terbaru ini bukan masalah kerana saya tahu kerajaan mempu­nyai dana tertentu untuk membantu ahli perniagaan kecil dan sederhana seperti saya untuk mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.

Selain itu kata Ning, dia turut memikirkan untuk membuka sekolah vokal dan muzik. Katanya, ia mempunyai banyak permintaan tetapi tawarannya kurang.

“Perkara ini sudah lama saya fikirkan dan saya rasa sekarang adalah waktu terbaik untuk saya lakukannya dengan mencari bangunan bersesuaian dan diubah suai untuk dijadikan sekolah muzik.

“Sekarang ini kalau kita lihat sekolah muzik tidak banyak, begitu juga dengan sekolah vokal. Saya mahu menubuhkan sekolah muzik kerana ia bidang yang saya tahu.

“Malah saya sendiri mempunyai kemampuan untuk mengajar vokal dan mempunyai kelulusan dalam bidang itu,” katanya.

Soal tenaga pengajar juga jelas Ning, bukan masalah memandangkan dia mempunyai ahli keluarga yang menjadi tenaga pengajar bertauliah dalam bidang muzik.

Bagaimanapun katanya, rencana pembukaan sekolah muzik akan dilaksanakan secara berperingkat.

Walaupun dirinya kini sibuk dengan perniagaan dan juga nyanyian, Ning yang berkahwin dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton akui ia bukan masalah untuk membahagikan masa antara nyanyian, rumah tangga dan perniagaan.

Katanya, sebelum ini pun perkara sama dilakukan. Dia akan menguruskan keperluan suami dan anak di waktu pagi kemudian keluar bekerja selepas itu sama seperti wanita lain yang berkerjaya.

“Cuma kelebihan saya sebagai pemilik syarikat, boleh merancang sendiri jadual kerja di samping pengurus saya, Alvin akan membantu.

“Mengenai fesyen, ia belum lagi berjalan dan sekolah muzik itu pula ia akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Kata Ning, kemungkinan besar tumpuan akan diberikan kepada penubuhan sekolah itu di peringkat awal selama dua tahun.

“Selepas itu saya boleh membahagikan masa secara perlahan-lahan kerana dalam tempoh itu saya harap sudah mempunyai beberapa tenaga pengajar yang boleh berdikari menguruskan pelajar dan kurikulum,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");