Berita Hari Ini

Premis Wajib Kibar Bendera

KUALA NERUS – Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang agar mengenakan syarat mewajibkan semua premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan mulai tahun depan.

Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik berkata, pemilik yang degil juga boleh dikenakan kompaun atau tidak membenarkan lesen perniagaan disambung sekiranya masih enggan berbuat demikian.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita mewajibkan semua pemilik premis mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali tibanya musim kemerdekaan kerana kita lihat kini soal penghayatan dan sambutan agak rendah dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, saya selaku salah seorang ahli majlis dalam Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mencadangkan perkara ini (mewajibkan Jalur Gemilang dikibar sebagai syarat untuk menyambung lesen perniagaan) bagi memberi lebih kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika hadir menyempurnakan Program Kembara Jalur Gemilang Peringkat Kuala Nerus anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), di sini.

Menurut Azmi lagi, langkah tegas sedemikian perlu diambil memandangkan penghayatan kemerdekaan dalam masyarakat hari ini terutamanya golongan muda masih tidak memuaskan.

“Kita bimbang sekiranya penghayatan tentang kemerdekaan tidak disemai lebih awal akan menimbulkan masalah pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program kembara yang dijalankan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu itu, pihaknya menyokong penuh dan berharap agar lebih banyak aktiviti seumpama itu diadakan pada masa akan datang.

-Sinar Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");