Membawang Hari Ini

Rindu Sam terlerai

Watak Amran yang dibawakan Shaheizy Sam dalam telefilem Cermin Kasih bukan saja menemukan semula dia dengan Tiz Zaqyah selepas lima tahun tidak berlakon bersama, malah karakter sebagai pengedar dan penagih dadah itu meredakan kemarau Sam yang mengidamkan watak berat serta penuh emosi.

Pembabitan Sam dalam telefilem itu 15 babak saja, namun ia cukup memberi kepuasan kepadanya kerana Amran penyebab kepada kesengsaraan Tina (Tiz Zaqyah) sehingga terpaksa meringkuk dalam penjara.

Ketika ditemui lokasi penggambaran telefilem terbitan Arie Azaharie Production Sdn Bhd itu di Bentong, Pahang, ujar Sam lama dia tidak mendapat tawaran melakonkan watak seberat Amran lantas pelawaan Arie untuk muncul dalam Cermin Kasih diibaratkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Telefilem yang mengisi slot Cerekarama TV3 itu pada 10 Oktober ini, jam 9 malam, diarahkan Murali Abdullah.

“Cuma 15 babak, tetapi saya betul-betul menghayati watak itu. Apa saja yang Murali mahu saya buat, saya ‘beri’ dan pada masa saya Murali juga pengarah yang bertolak ansur. Dia terima pendapat saya untuk mencantikkan lagi jalan cerita Cermin Kasih. Sebelum penggambaran kami bersama-sama mencari sudut dan aksi terbaik.

“Berlakon dengan Tiz juga menjelmakan semula ‘chemistry’ kami berdua. Lakonan terakhir saya dengannya dalam drama Asmaradana terbitan GBSB (Grand Brilliance Sdn Bhd) pada 2010 dan sememangnya saya rindu berkongsi lokasi penggambaran dengannya kerana dia antara pelakon terbaik dalam industri.

“Walaupun sebenarnya apabila berada di set, saya jarang berbual dengan Tiz kerana mahu memberi penumpuan sepenuhnya kepada watak, namun kerana Tiz juga pelakon profesional, apabila berada di depan lensa kamera kami saling memberi dan menerima peranan kami sebagai suami isteri,” katanya.

Jelas Sam lagi dalam 15 babak itu, dia berasakan watak Amran dalam setiap lapisan lakonannya iaitu sebagai pengedar dan penagih dadah serta suami yang amat mencintai isterinya.

Sam juga amat senang bekerja dengan Murali yang disifatnya pengarah yang ‘cool’, tidak memberikan tekanan kepada pelakon dan suka berbincang. Kerjasama terakhirnya dengan pengarah itu pada 2009 dan pembabitannya dalam Cermin Kasih seperti ‘reunion’ semula dengan pengarah kegemarannya itu.

Selain ‘team’ produksi yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik apatah lagi Arie yang sering datang ke lokasi untuk menjenguk perkembangan penggambaran, Sam sukakan jalan ceritanya yang sebahagiannya berdasarkan kisah benar.

Cermin Kasih mengisahkan Amran yang begitu mencintai isterinya, Tina. Tanpa pengetahuan Tina, Sam yang sentiasa menatang isterinya seperti minyak penuh itu, sebenarnya pengedar dadah dan apabila Tina mendapat tahu pekerjaan suaminya yang sebenar, dia minta cerai.

Oleh kerana Amran tidak boleh melepaskan ‘cinta hatinya’ itu pergi meninggalkannya, dia menyuntik Tina dengan dadah sehingga mengheret Tina ke dalam kancah penagihan dadah. Dia terus setia bersama Amran bukan lagi kerana mencintai suaminya itu, tetapi kerana dia perlukan bekalan dadah.

“Amran terpaksa ‘mengikat’ Tina dengan dadah supaya tidak meninggalkannya. Apabila rumah kami diserbu, Amran ditembak mati dan tinggallah Tina ditangkap polis yang akhirnya dalam keadaannya yang sedang hamil, dia terpaksa meringkuk dalam penjara.

“Bermulalah episod duka Tina dalam penjara yang melahir dan membesarkan anaknya di sebalik tirai besi itu,” katanya.

Tegas Sam, telefilem ini mengandungi mesej yang sarat kerana cinta manusia sanggup melakukan apa saja waima menganiaya isteri sendiri.

“Saya yakin Cermin Kasih mendapat sambutan hebat penonton kerana jalan ceritanya sering berlaku dalam masyarakat hari ini apabila wanita atau isteri sering terseret dalam situasi yang sukar dan tiada pilihan,” kata–nya.

Pada pertemuan itu juga, Sam menyuarakan hasrat hatinya untuk melakonkan watak biografi tokoh terkemuka tanah air. Dia amat mengimpikan untuk membawa watak Leftenan Adnan, Kanang Anak Langkau dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya perlu memberikan sesuatu yang baru kepada penonton kerana sudah selalu sangat membawakan watak fisyen. Saya mahu peminat mengingati sisi lain lakonan saya pula,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");