Isu Panas

Sokong Pas sertai PR 2.0

PETALING JAYA – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali teguh mempertahankan pendirian parti yang berhasrat meneruskan kelangsungan kerjasama politik dengan Pas dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) 2.0.

Menurutnya, kerjasama akan diteruskan dengan semua parti politik yang komited dengan agenda bersama iaitu membawa perubahan dalam negara sejajar hasrat yang disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Besar Selangor itu turut mengingatkan bahawa musuh PR hanyalah Umno dan BN.

“Dan kalau ada pihak, termasuk Pas yang terus komited dengan agenda bersama PR, maka sudah tentulah kita akan bekerjasama dengan Pas dan mana-mana parti politik yang mempunyai dasar perjuangan sealiran dengan PR.

“Ini telah ditegaskan berulang kali,” katanya kepada media selepas menghadiri PJ Half Marathon di Petaling Jaya ketika diminta mengulas sama ada wajar Pas berada bersama PR 2.0 atau tidak.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah menyatakan PKR masih mahu menjalin kerjasama dengan Pas kerana PKR boleh bekerja dengan mana-mana pihak yang mempunyai matlamat sama untuk menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu, Azmin turut mendesak polis supaya lebih fokus kepada masalah jenayah yang lebih serius berbanding memanggil individu terlibat dalam perhimpunan Bersih 4.0.

Katanya, tindakan polis itu membuang masa dan membazir wang rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

“Tidak harus wang rakyat seperti ini digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Itu gesaan saya pada polis.

“Polis perlu tumpu masalah jenayah yang semakin serius hari ini dan tidak menekan rakyat yang sebenarnya berhimpun secara aman, menurut Perlembagaan dan peruntukan sedia ada,” katanya.

Azmin turut menyeru polis agar meneliti semula perkara itu dengan serius supaya keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap institusi itu dapat dikembalikan.

“Institusi PDRM adalah satu sistem demokrasi yang harus memelihara ketenteraman dan keselamatan rakyat, bukan individu,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan memanggil lebih ramai lagi individu dan peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Katanya, polis sedang mengkaji klip video dan gambar semasa perhimpunan 34 jam tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya bahkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dipanggil dan disiasat mengikut kanun keseksaan berhubung ucapannya pada perhimpunan tersebut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");