Sukan Hari Ini

Takluk Suzuka

Suzuka, Jepun: Lewis Hamilton meraih kemenangan pada Grand Prix Jepun mengatasi rakan sepasukannya di Mercedes, Nico Rosberg semalam sekali gus mengukuhkan cengkaman dalam misi menakluk kejuaraan dunia ketiga.

Pemandu Britain yang memburu kejuaraan Formula Satu berturut-turut melebarkan jurang mata dengan Rosberg kepada 48, berbaki lima perlumbaan selepas mempamerkan aksi hebat di Suzuka.

Sebastian Vettel yang menjuarai perlumbaan di Singapura minggu lalu, menduduki tempat ketiga diikuti Kimi Raikkonen, kedua-duanya memandu Ferrari.

“Menakjubkan, Lewis! Perlumbaan hebat!” jurutera pasukan Hamilton berkata menerusi radio ketika dia melepasi garisan penamat 19 saat di depan Rosberg sambil menggenggam penumbuknya untuk meraikan kemenangan kelapan dalam 14 perlumbaan musim ini.

Sebaik kembali bangkit dengan penuh bergaya selepas gagal menamatkan perlumbaan buat kali pertama dalam tempoh setahun di Singapura, Hamilton berkata: “Tugas yang hebat, semua. Seronok dapat kembali ke sini.”

“Penting bagi kami untuk bangkit semula. Kami tidak mempamerkan aksi bertaraf A pada perlumbaan lalu.”

Terkesan dengan kegagalan minggu lalu, Hamilton bermula cemerlang, memecut laju pada selekoh kedua untuk mendahului perlumbaan selepas Rosberg terbabas ke rumput, jatuh dari petak pertama kepada kedudukan keempat ketika itu.

Tayar pelumba Red Bull, Daniel Riccardio terkoyak ketika cuba memotong selekoh pertama dan bergesel dengan Felipe Massa yang terpaksa kembali ke pit untuk menukar sayap hadapan.

Hamilton hampir berdepan malang pada separuh jalan perlumbaan 53 pusingan itu apabila mengadu wujud gegaran dan kepanasan melampau di kokpit namun ia hanya berlaku sementara sebelum terus memecut untuk menyamai rekod wira pujaannya, Ayrton Senna dengan 41 kemenangan.

“Ia hari yang penuh emosi. Saya sungguh seronok dan gembira.”

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");